KBS lulus dana buat Hafizh

Oleh Bernama 15 April 2020 639
KBS lulus dana buat Hafizh
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah meluluskan dana kepada pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, dan ia akan disalurkan dalam masa terdekat.

"KBS melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara telah memaklumkan perkara ini kepada Hafizh mengenai kelulusan penyaluran dana bagi membantu menampung kos perlumbaan beliau bagi tahun 2020 pada awal Mac yang lalu. 

"Dana yang akan disalurkan tersebut akan diserahkan melalui Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai badan pemantau program pembangunan sukan permotoran di negara ini," kata KBS dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menjelaskan jumlah dana yang disalurkan. 

KBS berkata bantuan seumpama itu merupakan satu bentuk sokongan yang sentiasa dititikberatkan pihaknya dalam apa jua pembangunan sukan, termasuk sukan permotoran yang mampu mengharumkan nama negara.

Selepas dua musim dalam kategori MotoGP, pelumba kelahiran Ampang, Selangor itu kembali semula ke Moto2 musim ini bersama pasukan baru, Angel Nieto Team.

-- BERNAMA 

Tentang Penulis

Bernama

Komen