Kasma Daniel Kasmayudin tidak sabar untuk turun beraksi bagi merampas semula kedudukan pendahulu keseluruhan CP150 pada pusingan kelima Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di MAEPS, Serdang, hujung minggu ini.

Dua kemenangan berturut-turut pada awal musim meletakkan pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu di tangga teratas keseluruhan, namun jatuh ke kedudukan kedua setelah tidak dapat beraksi dalam pusingan keempat di Teluk Intan kerana berlangsung serentak dengan saingan Kejuaraan Moto3 Remaja Dunia di Sepanyol.

Ketika ini, pemenang perlumbaan di Teluk Intan, Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ) berada di tangga teratas, hanya dengan kelebihan satu mata ke atas Kasma manakala rakan sepasukan Kasma, Ahmad Fazli Sham, di tangga ketiga dengan 40 mata.

“Saya perlu menang minggu ini untuk kembali merampas kedudukan pendahulu. Saya tidak boleh tercicir sebarang mata lagi jika ingin menang gelaran tahun ini kerana mungkin ada pusingan lain yang saya tidak dapat beraksi,” jelas Kasma.

“Saya rindukan aksi Cub Prix. Sudah berapa bulan saya tidak beraksi kerana terlibat dengan latihan dan perlumbaan di Sepanyol. Jadual tahun ini sangat padat, namun ia penting untuk perkembangan karier saya.

“Bulan Julai juga merupakan bulan yang sangat sibuk. Saya baru pulang dari Sepanyol Selasa lepas dan selepas tamat perlumbaan di MAEPS, saya akan terbang semula ke sana untuk perlumbaan di Litar Estoril pada 21 hingga 23 Julai ini," tambahnya.