Pelumba berbakat negara, Kasma Daniel Kasmayudin, yang akan beraksi bersama pasukan Petronas Sprinta mendapat tiket wildcard untuk berlumba dalam MotoGP Dunia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dalam kategori Moto3, hujung bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Datuk Razlan Razali, mengesahkan hanya Kasma menjadi wakil negara diberikan slot berkenaan.

Peluang itu diberikan berdasarkan pencapaian menakjubkan Kasma dalam saingan Cub Prix dalam tempoh tahun ini termasuk muncul juara termuda kategori CP130.

"Kasma seperti beberapa pelumba wildcard negara sebelum ini yang diberi pendedahan untuk mengukur kemampuan mereka dengan pelumba-pelumba dunia.

"Ini satu penanda aras buat pelumba tempatan. Hanya kerana mereka hebat dalam saingan Cub Prix dan Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC), tidak bermakna mereka akan menyerlah dalam Moto3," kata Razlan.

Mengenai Hafizh Syahrin, Razlan menegaskan satu pengumuman khas akan diadakan pada 24 Oktober ini mengenai masa depan pelumba muda itu yang difahamkan bakal bersama pasukan baru dalam Moto3.

"Kami mendapat tawaran daripada pasukan lain juga. Difahamkan, dia juga mendapat tawaran daripada pasukan MotoGP dalam beberapa perlumbaan terdahulu.

"Saya tidak fikir dia sudah bersedia untuk MotoGP, pengumuman akan dibuat tidak lama lagi."

Dalam sidang media MotoGP Malaysia itu, Razlan turut mengumumkan peningkatkan harga tiket sebanyak 10 peratus menjelang perlumbaan musim 2018.