Kasma hampiri gelaran CP150

Oleh Penulis Jemputan 4 November 2017 1
Kasma hampiri gelaran CP150
Kasma Daniel Kasmayuddin semakin menghampiri gelaran keseluruhan CP150 apabila muncul pelumba terpantas dalam sesi kelayakan dalam Pusingan 9, Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Batu Kawan, Pulau Pinang, hari ini.

Beraksi di dalam hujan tidak menghalang pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu untuk mencatat masa terpantas 54.958s pada pusingan ke-10, mengatasi catatan rakan sepasukan, Mohd Ramdan Mohd Rosli, yang terlebih dahulu mencatat masa terbaik 55.009s pada pusingan kelapan.

Mohd Adib Rosley (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing) muncul pelumba ketiga terpantas dengan masa 55.228s.

Sementara itu, pencabar tunggal yang masih berpeluang menyekat Kasma daripada dinobatkan selaku juara keseluruhan minggu ini, Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ), terkeluar daripada kelompok 10 pelumba yang layak ke sesi Superpole apabila sekadar mencatat masa ke-11 terpantas, 55.971s.

“Saya tidak memikirkan tentang gelaran, sebaliknya hanya memberi tumpuan untuk mencatat masa konsisten di Litar Batu Kawan kerana rekod saya di sini tidak begitu baik. Tahun lepas, saya gagal menamatkan perlumbaan di sini, begitu juga pada tahun 2015 sewaktu beraksi dalam kategori CP115,” jelas Kasma.

Tambahnya, “Keadaan cuaca juga tidak menentu minggu ini. Jika perlumbaan akhir nanti dalam hujan, saya perlu lebih berhati-hati dan saingan juga pasti lebih mencabar. Yang penting, saya perlu mencatat masa terbaik dalam sesi Superpole terlebih dahulu.”

Sementara itu, pendahulu keseluruhan CP115, Md Akid Aziz, muncul pelumba terpantas dengan masa 56.755s, diikuti Md Fareez Afieez dengan masa 57.459s manakala Md Harith Farhan Baharin ketiga, 57.681s.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen