Pemburuan gelaran juara keseluruhan CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS kini berakhir setelah Kasma Daniel Kasmayudin mengesahkan gelaran dalam saingan pusingan kesembilan di Jempol, Negeri Sembilan hari ini, sekaligus meletakkan namanya selaku juara termuda kategori tersebut.

Pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor itu mengesahkan gelaran setelah muncul naib juara di belakang Mohd Zaqhwan Zaidi (Givi Honda Yuzy Racing) yang menamatkan 18 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 13'58.890s.

Kasma, yang bermula dari petak ketiga, pada satu ketika mendahului perlumbaan sebelum dipintas Zaqhwan pada pusingan ke-10 dan menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 13'58.975s sekaligus meletakkan namanya sebagai juara termuda CP130 pada usia 16 tahun 1 bulan 20 hari, mengatasi rekod Hafizh Syahrin Abdullah pada usia 16 tahun 6 bulan.

Mohd Affendi Rosli (PETRONAS Yamaha-CKJ) meraih podium pertama musim 2016 dengan menamatkan saingan di tempat ketiga dengan masa 14'01.058s.

"Saya berterima kasih kepada seluruh pasukan di atas kejayaan ini dan ia adalah kejayaan kami bersama," jelas Kasma gembira selepas menerima trofi daripada Raja Muda Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-Abidin Ibni Tuanku Muhriz.

"Pasukan telah menyediakan jentera yang sangat baik dan pada masa sama membolehkan saya mengerah segala kemampuan yang ada," jelasnya.

Selain juara termuda, kemenangan ini meletakkan Kasma sebagai remaja di bawah usia 20 tahun ketiga yang memenangi gelaran kelas perdana, termasuk Zaqhwan yang bergelar juara CP130 pada tahun 2014 ketika berusia 18 tahun.

Selain Kasma, rakan sepasukan, Ahmad Fazli Sham, yang gagal menamatkan perlumbaan, turut mengesahkan gelaran sebagai naib juara keseluruhan musim 2016.

Dalam saingan CP115, Azroy Hakeem Anuar menghadiahkan kemenangan kedua buat Yuzy Racing setelah menamatkan 15 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 11'46.006s, mengatasi duo PETRONAS Yamaha Maju Motor, Md Akid Aziz dan Md Haziq Fairues, di kedudukan kedua dan ketiga, masing-masing dengan masa 11'47.308s dan 11'50.324s.

Gelaran naib juara terus menjarakkan kedudukan Akid di tangga teratas keseluruhan dengan 126 mata, 18 mata mengatasi Tengku Amirul Haffirudin dan Haziq yang berkongsi 108 mata. Dua podium yang diraih mengesahkan kedudukan PETRONAS Yamaha Maju Motor sebagai juara berpasukan dengan 234 mata.

Sementara itu, dalam saingan Wira, Md Shafiq Ezzariq (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) mensia-siakan peluang untuk mengesahkan gelaran juara keseluruhan apabila sekadar menamatkan perlumbaan di tangga ke-14 setelah terjatuh ketika bersaing sengit untuk merebut kedudukan podium sambil pencabar utama, Md Helmi Azman (IUGB AFB Tech Racing) menghidupkan peluang untuk merebut gelaran keseluruhan apabila memenangi perlumbaan dengan masa keseluruhan 9'45.282s.

Tempat kedua milik rakan sepasukan Shafiq, Saiful Azhary Muhamad, dengan masa 9'47.032s manakala Md Izam Ikmal Izami meraih podium pertama musim 2016 setelah menamatkan perlumbaan di tangga ketiga dengan masa 9'51.315s.

Shafiq kini mendahului kedudukan dengan 176 mata, 23 mata mengatasi Helmi di tangga kedua dengan 153 mata manakala Md Qhuwarismi Md Nasir (Weststar Motorsport), yang tidak beraksi di Jempol akibat kecederaan, kekal di tangga ketiga dengan 103 mata.

Pusingan 10 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS akan berlangsung di Taiping, Perak pada 19 dan 20 November.

CP130
Akhir
1. Md Zaqhwan Zaidi (SGR) Honda 13'58.890s
2. Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) 13'58.975s
3. Md Affendi Rosli (SGR) Yamaha 14'01.058s
4. Norizman Ismail (SGR) Honda 14'02.376s
5. Md Fitri Ashraff Razali (KUL) Yamaha 14'02.550s

Kedudukan Keseluruhan
1. Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) Yamaha 178 mata
2. Ahmad Fazli Sham (PRK) Yamaha 136 mata
3. Norizman Ismail (SGR) Honda 97 mata
4. Md Zaqhwan Zaidi (SGR) Honda 83 mata
5. Ahmad Fazrul Sham (PRK) Yamaha 82 mata

CP115
Akhir:
1. Azroy Hakeem Anuar (KUL) Honda 11'46.006s
2. Md Akid Aziz (KUL) Yamaha 11'47.308s
3. Md Haziq Fairues (SGR) Yamaha 11'50.324s
4. Md Shah Khairil Hisham (JHR) Yamaha 12'03.052s
5. Ahmad Syukran Aizat (TRG) Yamaha 12'04.761s

Kedudukan keseluruhan
1. Md Akid Aziz (KUL) Yamaha 126 mata
2. Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Yamaha 108 mata
3. Md Haziq Fairues (SGR) Yamaha 108 mata
4. Ahmad Syukran Aizat (TRG) Yamaha 94 mata
5. Azroy Hakeem Anuar (KUL) Honda 92 mata

WIRA
Akhir:
1. Md Helmi Azman (SGR) Yamaha 9'45.282s
2. Saiful Azhary Muhamad (JHR) Honda 9'47.032s
3. Md Izam Ikmal Izamli (KUL) 9'51.315s
4. Md Danial Syahmi (TRG) Yamaha 9'51.384s
5. Md Amirul Arif Ramlee (JHR) Yamaha 9'51.510s

Kedudukan keseluruhan:

1. Md Shafiq Ezzariq (SGR) Honda 176 mata
2. Md Helmi Azman (SGR) Yamaha 153 mata
3. Md Qhuwarismi Md Nasir (PNG) Yamaha 103 mata
4. Md Amirul Arif Ramlee (JHR) Yamaha 98 mata
5. Saiful Azhary Muhamad (JHR) Honda 92 mata