Kasma Daniel Kasmayuddin berada dalam kelas tersendiri apabila mencatat nama selaku pelumba pertama muncul juara keseluruhan dalam tiga kategori berbeza secara berturut-turut sebaik pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2017 melabuhkan tirai di Dataran Bandar Penawar, Johor, hari ini.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Motor itu, yang telahpun mengesahkan gelaran keseluruhan sebaik pusingan kesembilan di Pulau Pinang berakhir, awal bulan ini, mengakhiri musim 2017 dengan mengumpul 138 mata keseluruhan, termasuk lima gelaran juara.

Bagaimanapun, hasrat pelumba kelahiran Johor itu untuk menamatkan musim dengan muncul juara di laman sendiri tidak kesampaian setelah sekadar berada di kedudukan keempat.

Kemenangan, sebaliknya, menjadi milik rakan sepasukan, Mohd Ramdan Mohd Rosli, dengan masa keseluruhan 19 minit 42.832 saat. Tempat kedua, Mohd Azhar Abdul Jalil (Motul Zeneos Yamaha YY Pang) dengan masa 19:43.972s.

Kasma, yang bermula dari petak pertama, ketinggalan di kelompok pertengahan pada pertengahan perlumbaan setelah dua kali terjatuh, namun berjaya bangkit untuk tamat di kedudukan keempat setelah dipintas pada saat akhir oleh Mohd Helmi Azman (Onexox TKKR Racing).

“Perasaan saya bercampur-baur. Walaupun gembira dengan gelaran JUARA keseluruhan, namun saya agak kecewa kerana gagal memenangi perlumbaan terakhir sebagai hadiah kepada penyokong dan keluarga di laman sendiri,” jelas Kasma.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan apa yang dicapai pada hari ini. Bukan mudah untuk menjuarai tiga kategori perlumbaan secara berturut-turut.

"Kerja keras dan pengorbanan saya, keluarga dan pasukan dibayar dengan kejayaan. Namun, perjalanan saya masih jauh dan lebih banyak cabaran menanti pada masa akan datang,” ujarnya.

Hadiah kepada pemenang-pemenang disampaikan oleh Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Sementara itu, dalam kategori CP115, Md Akid Aziz yang telahpun bergelar juara keseluruhan menamatkan musim 2017 dengan cemerlang apabila meraih kemenangan keenam peribadi untuk mengumpul 180 mata keseluruhan.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu menamatkan 15 pusingan perlumbaan dengan masa 15:29.993s, diikuti Ahmad Syukran Aizat (PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ) kedua, 15:30.301s dan rakan sepasukan Akid, Md Haziq Md Fairues, ketiga 15:31.807s.

Haziq kekal di tangga kedua keseluruhan dengan 123 mata, diikuti Syukran ketiga, 114 mata.