Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali, menegaskan Malaysia akan terus menganjurkan perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1) sehingga 2018 sebelum memutuskan sama ada mahu mengekal atau menghentikan penganjuran selepas tempoh itu.

Razlan tidak menganggap pendapat Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, yang mencadangkan penganjuran F1 dihentikan sementara sebagai sesuatu yang kontroversi jika mengambil kiri pelbagai faktor.

Bagaimanapun, sebarang keputusan untuk menamatkan penganjuran F1 hanya boleh dilakukan selepas 2018 kerana SIC masih mempunyai kontrak selama dua tahun selaku pemegang hak penganjuran perlumbaan F1.

"Kami mempunyai satu perjanjian yang ketat dengan FOM (Pengurusan Formula Satu), tetapi kini sudah tiba masanya untuk kami berfikir masak-masak sekiranya kami mahu melanjutkan penganjuran sehingga 2018 kerana ia bukan sahaja untuk Malaysia. Apa yang boleh dianjurkan selepas ketiadaan F1," katanya.

Selain faktor ekonomi sebagai punca utama, Razlan mendapati tarikan yang lebih kuat di GP Singapura serta tarikan F1 yang sudah menurun turut menjadi faktor.

"Daya tarikan kini tidak sama seperti dahulu tetapi kami boleh melihat di dalam televisyen setakat mavna kami boleh menarik penonton.

"Jadi, peminat atau pengkritik boleh menyaksikan sendiri di kaca TV betapa sukarnya untuk kami menganjurkan dan berapa ramai yang turun memberikan sokongan. Mereka boleh menilainya sendiri."

Khairy melalui Twitternya semalam melahirkan pendapat penganjuran F1 di Malaysia sejak 1999 patut dihentikan kerana kosnya terlalu tinggi.