Pelumba BikeART Kawasaki Racing, Azlan Shah Kamaruzaman, menyifatkan kemalangan ketika saingan Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Suzuka, Jepun, Jun lalu adalah yang paling ngeri sepanjang 13 tahun dia bergelar pelumba profesional.

Azlan, 31, masih lagi terkesan dengan insiden yang mengakibatkannya patah empat di bahagian kaki kanan selepas dilanggar pelumba KYT Kawasaki, Ahmad Yudhistira, ketika perlumbaan pertama Supersport 600cc di litar berkenaan.

Kemalangan itu jauh lebih serius berbanding insiden tahun lalu, di mana ligamen pergelangan tangan kanannya terkoyak semasa beraksi dalam saingan Moto2 di Litar Valencia, Sepanyol.

"Kali pertama saya mengalami patah. Itu pengalaman paling pahit kerana saya tidak pernah mengalami patah sebelum ini, apatah lagi patah empat di kaki.

"Jadi, ia pengalaman paling tragis. Kalau nak ingat balik... kalau boleh tak nak ingat," katanya.

Pelumba kelahiran Klang itu kini sudah beransur pulih dan kembali membuat penampilan bergaya dengan menamatkan saingan di podium ketika di New Delhi, awal bulan ini.

Azlan, bagaimanapun, mengakui dia masih belum pulih sepenuhnya walaupun berjaya mencuri mata berharga untuk menempatkan diri selaku lima pelumba teratas keseluruhan kategori Supersport 600cc.

Dengan saingan ARRC berbaki satu pusingan di Buriram, Disember depan, Azlan masih menaruh keyakinan untuk menamatkan musim ini dengan kedudukan tiga terbaik keseluruhan kategori pelumba.

"Keadaan fizikal saya sudah 70 peratus (baik) tetapi saya cuba habiskan perlumbaan dan buat yang terbaik," tambahnya.

Selepas lima pusingan, persaingan sengit boleh disaksikan di antara pelumba Jepun, Tomoyoshi Koyama, dan Zaqhwan Zaidi yang hanya dipisahkan dengan tujuh mata.

Yuki Takahashi pula berada di tangga ketiga dengan 128 mata, diikuti Azlan di tangga keempat dengan 116 mata.