Juara dunia kali ketujuh Hamilton disanjung lawan 

Oleh Shaiful Shamsudin 16 November 2020 478
Juara dunia kali ketujuh Hamilton disanjung lawan 
Sebastian Vettel tetap gembira menyaksikan Lewis Hamilton menjulang gelaran Formula Satu (F1) buat kali ketujuh. 

Walaupun memulakan Grand Prix (GP) Turki di petak keenam, Hamilton masih mampu mengungguli perlumbaan di depan Sergio Perez dan Vettel bagi mengulangi pencapaian Michael Schumacher sebagai pemandu paling berjaya, awal pagi tadi.

Rakan sepasukannya di kem Mercedes, Valtteri Bottas, memerlukan lapan mata dalam usaha terus memberi saingan kepada juara bertahan itu untuk sekurang-kurangnya dalam pusingan seterusnya, tetapi keretanyya yang berpusing di selekoh pertama memberi kesempatan kepada jaguh dari Britain berkenaan memintasnya.

Situasi itu yang menyaksikan pemandu Finland berkenaan terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat ke-14.

Vettel pernah dianggap sebagai pemandu yang paling hampir untuk mengatasi rekod Schumacher itu selepas memenangi empat gelaran berturut-turut dari 2010 hingga 2013, namun dia tetap berasa senang hati sambil mengucapkan tahniah kepada seterunya tersebut atas pencapaiannya yang luar biasa.

"Dia mengemudi jenteranya dengan hebat," kata Vettel kepada Sky Sports. 

"Ini adalah satu hasil yang baik buat kami tetapi ini hari istimewanya apabila melakar sejarah seperti ini. Semua tumpuan terarah kepadanya. 

"Ini satu pencapaian yang menakjubkan. Saya gembira dapat menyaksikannya secara langsung."


 

Max Verstappen daripada pasukan Red Bull, yang menduduki tempat keenam untuk menghambat kedudukan Bottas dengan jurang 27 mata, berkata: "Jelas sekali dia akan memenangi gelaran tetapi ia tetap luar biasa.

"Dia seorang pemandu yang sangat hebat, sudah tentu juga pada hari ini dan saya rasa daripada segi statistik dia merupakan pemandu terbaik dalam F1.

"Ia keputusan yang baik untuk seluruh pasukan itu juga, mereka begitu dominan. Mereka layak meraihnya."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen