Pelumba negara, Zaqhwan Zaidi, optimis tahun 2020 ini akan menjadi miliknya apabila bakal menggunakan jentera baru Honda CBR1000RR-R pada musim baru Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).

Sasaran meraih gelaran juara bagi kelas ASB1000 seperti diumumkan pasukan Honda Asia-Dream Racing, tidak menggentarkan Zaqhwan.

Sebaliknya, ia menaikkan semangat dan menjadi sasaran peribadi buat pelumba berusia 25 tahun itu untuk memastikan impian pasukannya tercapai.

"Saya sangat gembira dan berharap dapat berusaha bersaing dengan lebih kompetitif dengan kehadiran jentera baru," katanya.

Zaqhwan, yang merupakan juara dua kali kelas Supersport 600cc, bakal menggunakan jentera Honda CBR1000RR-R, iaitu jentera lumba daripada siri CBR yang baru diperkenalkan Disember lalu.

Musim lalu, Zaqhwan berada di kedudukan ketiga kelas ASB1000 bagi saingan ARRC, tempat ke-12 JSB1000 dan tempat ke-11 perlumbaan Suzuka 8 Jam.



Editor: Ammar Hakim