Pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing, Zaqhwan Zaidi, menyifatkan kejayaan menjuarai Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) musim ini lebih bermakna daripada gelaran pertamanya pada 2014.

Zaqhwan meraih gelaran kedua saingan SuperSports 600cc selepas mengetepikan pencabar terdekat dari Jepun, Tomoyoshi Koyama, yang gagal menamatkan perlumbaan kedua, pusingan keenam di Litar Buriram, Thailland, semalam.

"Hingga ke penamat, saya tak tahu sebenarnya saya menjadi juara," katanya. "Pada masa itu, saya sangat teruja dan saya memang betul-betul gembira. Ini adalah kejayaan paling bermakna dalam hidup saya."

Walaupun kejayaan 2014 akan sentiasa dikenang kerana ia gelaran sulung, Zaqhwan berasa sesuatu yang berbeza bagi kejuaraan kali ini.

Ini kerana Zaqhwan terpaksa menempuhi pelbagai cabaran, termasuk kecederaan bahu, di samping beberapa prestasi kurang menentu pada pertengahan musim.

“Saya menghadapi pertengahan tahun yang agak sukar, mengalami kecederaan yang tidak diingini dan sentiasa menghadapi cabaran sehingga penghujung musim.”

Dalam pada itu, Zaqhwan menyerahkan kepada pengurusan Honda bagi menentukan hala tuju kariernya untuk musim 2017.

“Mengenai masa depan, saya akan mengikut pasukan Honda. Saya telah bersama pasukan selama enam tahun dan kami akan lihat bagaimana perancangan mereka. Saya sangat selesa bersama Honda dan berharap untuk pergi lebih jauh.

Jelasnya lagi, pengalaman membabitkan diri dalam saingan Moto2 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada awal musim 2015 memberikan banyak pengajaran.

Apa yang pasti, dia mahu mempertahankan gelaran ARRC ini di samping memburu kejuaraan dalam Kejuaraan Motosikal Cub Prix yang bakal memperkenalkan kategori baharu, CP150 musim hadapan.