Pelumba Mercedes, Lewis Hamilton, mengakui mereka tidak menjangka Charles Leclerc mampu mendapatkan petak pertama untuk Ferrari di Singapura.

Litar jalanan Marina Bay tidak dijangka sesuai dengan kelajuan kereta Scuderia minggu ini, namun Leclerc mengatasi Hamilton untuk muncul terpantas dengan catatan masa 1 minit dan 36.217 saat.

Hamilton, juara bertahan dan pendahulu saingan, perlu mencari jalan untuk menafikan kemenangan ketiga berturut-turut buat Leclerc, yang turut muncul terpantas dalam dua perlumbaan sebelum ini.

"Saya tidak tahu di mana Ferrari mendapatkan rentak tetapi mereka tidak seharusnya beraksi cemerlang di litar ini, mereka telah melakukannya dengan baik.

"Leclerc telah melakukan beberapa pusingan yang berkualiti dan saya memerlukan sesuatu yang istimewa jika mahu mengatasinya.

"Saya hampir, sangat hampir untuk terlanggar dinding di litar ini beberapa kali," ujarnya.

Hamilton tidak sabar menantikan perlumbaan hari ini dan berkata, "Saya sangat gembira kerana berada di petak kedua dan saya akan cuba menggugat Ferrari. Kami akan menggunakan pendekatan yang agresif."