Juara bertahan Formula Satu (F1) dan bintang pasukan Mercedes, Lewis Hamilton, mendedahkan dia berada dalam ruang pemikiran yang lain sewaktu mencatat masa terpantas dalam sesi kelayakan Grand Prix (GP) Amerika Syarikat, pagi tadi.

Hamilton menghampiri satu lagi kejuaraan F1 selepas memiliki petak utama di Litar Americas, Austin, selepas mencatat 32.237 saat dalam pusingan terakhir sesi kelayakan.

Dia meninggalkan pelumba Ferrari, Kimi Raikkonen, yang ketinggalan 0.070s di belakang selain rakan sepasukannya, Valtteri Bottas, yang akan memulakan perlumbaan esok di petak ketiga selepas ketinggalan 0.379s.

Hamilton -- yang menjuarai empat perlumbaan terakhir -- gembira dengan prestasinya selaku juara dunia empat kali yang hampir pasti mempertahankan kejuaraan tersebut berbaki tiga perlumbaan lagi.

"Saya tahu ia memerlukan kesempurnaan dan pusingan yang baik untuk menewaskan mereka.

"Pusingan pertama berlangsung baik, namun saya hanya berkelebihan kurang 1.10s di hadapan. Saya tahu mereka akan memperbaiki catatan masa, jadi tiada ruang untuk saya melakukan kesilapan.

"Saya sedar sesi kelayakan ketiga banyak menyelamatkan saya sebelum ini, sesi kedua masih tidak terlalu baik buat saya.

"Saya cuba bertegas dengan diri saya, jadi saya terus memaksa diri dalam pusingan kedua.

"Pendekatan yang kami gunakan sangat kukuh kali ini. Saya tidak pernah berasakan seperti ini. Saya tidak tahu mengapa. Ia memberikan satu perasaan yang sangat berbeza. Saya sangat gembira.

"Saya tidak tahu jika ia disebabkan saya cukup tidur atau tidak, tetapi saya berada dalam ruang pemikiran yang lain dalam sesi kelayakan kali ini. Ia sangat pelik, namun ia sesuatu yang baik," kata Hamilton.