Hamilton tangguh rundingan lumayan kerana situasi tidak sesuai 

Oleh Shaiful Shamsudin 7 Ogos 2020 202
 Hamilton tangguh rundingan lumayan kerana situasi tidak sesuai 
Lewis Hamilton menegaskan bahawa dia akan menandatangani kontrak baru dengan Mercedes, tetapi dia berasa adalah tidak wajar untuk bersetuju dengan syarat-syarat perjanjian lumayan di pertengahan situasi semasa.

Perjanjian juara dunia Formula Satu (F1) sebanyak enam kali itu bersama Mercedes bakal berakhir selepas tamat musim 2020 sementara timbul spekulasi awal tahun ini bahawa dia akan menyertai Ferrari. 

Namun, dengan semua kedudukan penting untuk 2021 sudah diisi, Hamilton dijangka akan kekal bersama pasukan yang disertainya itu sejak 2013.

Pelumba Britain itu, yang memenangi ketiga-tiga perlumbaan terakhir untuk memimpin carta pelumba musim 2020, menjangka masa depannya masih tetap bersama Silver Arrows.

Namun, meskipun rakan sepasukannya, Valtteri Bottas, bersetuju memeterai kontrak selama setahun semalam, Hamilton sedia menunggu untuk membincangkan syaratnya berikutan kesan ekonomi angkara wabak COVID-19 dengan beberapa pasukan F1 memilih untuk merehatkan kakitangan mereka awal tahun ini.

"Secara jujurnya saya tidak rasakan ini sebagai waktu yang tepat," katanya kepada wartawan di Silverstone menjelang ulang tahun ke-70 grand prix (GP) hujung minggu ini -- perlumbaan kelima tahun ini. 

 

"Apabila saya memikirkan tentang begitu ramai orang di dunia ini yang kehilangan pekerjaan dan terpaksa menganggur, manakala dalam masa yang sama saya berunding mengenai kontrak lumayan -- ia bukanlah waktu yang sesuai untuk melakukannya. 

"Saya tidak berurusan dengan orang lain dan saya berharap dapat meneruskannya, apatah lagi kami baru memulakan babak sebagai sebuah pasukan, daripada segi bagaimana kami mendidik diri sendiri, bagaimana kami memahami apa yang perlu dilakukan untuk terus bergerak ke hadapan dan lebih berfaedah.

"Saya sangat teruja dengan apa yang mungkin dilakukan Mercedes-Benz dan kali ini ingin terus maju. Lambat-laun Ia akan dimuktamad tetapi saya tidak tertekan."

Selain tenang untuk menangguhkan perbincangan kontrak barunya, Hamilton turut gembira sebaik mengetahui bahawa Bottas akan terus kekal di Mercedes.

"Saya rasa ketekalan selalu menjadi hal yang baik bagi sebuah pasukan dan Valtteri telah menawarkan pengaruh positif terhadap pasukan selama lima tahun ini," tambahnya.

"Dia boleh dipercayai dan melakukan pekerjaan yang luar biasa di trek selain merupakan rakan sepasukan yang hebat buat semua orang dalam pasukan ini, jadi saya rasa ia adalah satu penghormatan atas semua kerja keras yang telah dilakukannya."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen