Hamilton puas hati pilihan tayar bantu tawan GP Sepanyol 

Oleh Shaiful Shamsudin 17 Ogos 2020 141
 Hamilton puas hati pilihan tayar bantu tawan GP Sepanyol 
Lewis Hamilton tidak menyangka akan meraih kejayaan menawan Grand Prix (GP) Sepanyol berikutan masalah yang dihadapi jentera Mercedes dalam dua perlumbaan terakhir. 

Juara dunia enam kali, itu melebarkan penguasaan di kedudukan puncak dengan kelebihan 37 mata pada awal pagi tadi menerusi kemenangan di Litar Barcelona-Catalunya buat tahun keempat berturut-turut.

Dia mendahului perlumbaan dengan 24 saat di depan Max Verstappen yang menguasai tempat kedua sementara rakan sepasukan, Valtteri Bottas, di tempat ketiga. 

Dominasi itu muncul selepas Hamilton dan Bottas menghadapi masalah serius dengan tayar mereka dalam dua perlumbaan di Silverstone sebelum ini. 

Tatkala Hamilton menjulang kejayaan GP Britain dengan tayar pancit dan pula Bottas tercicir mata, Verstappen mengungguli penganjuran ulang tahun ke-70 GP untuk Mercedes mencanangkannya selaku pilihan bagi memenangi perlumbaan di Barcelona itu. 

"Kejayaan ini sungguh mengejutkan memandangkan kami menghadapi masalah tayar," katanya susulan kemenangan itu. 

"Pengurusan tayar kami cukup cemerlang dan saya rasa kami akhirnya dapat memahami tentang apa yang berlaku pada minggu lalu sementara apa yang kami bawa pada hujung minggu ini membolehkan kami meneruskan usaha kami. 

"Ia hasil kerja keras. Cuaca cukup panas. Saya memberi fokus untuk mendapatkan permulaan yang sempurna dan selepas itu, ia berkaitan pengurusan tayar.

"Kami tidak tahu seberapa pantas jentera Red Bulls jadi saya berusaha mendapatkan ukuran tayar Max ketika dia keluar lebih awal. Saya rasa pengurusan tayar telah membuat perbezaannya."

 

Tambah Hamilton di Sky Sports: "Perlumbaan ini amat sengit daripada apa yang difikirkan semua orang, tetapi saya berada di ruang depan jadi ia adalah satu perasaan yang indah, lebih baik daripada yang saya alami sejak sekian lama.

"Saya hanya kebingungan di luar sana tetapi ketika memandu saya berasa sangat baik. Saya tidak menyedari corak pemanduan saya dalam pusingan berkenaan -- begitulah perasaan saya pada ketika itu -- saya sudah bersedia untuk meneruskan saingan!

"Ia satu usaha yang luar biasa daripada pasukan, saya berasa seronok.Terima kasih banyak kepada semua orang yang bekerja keras di kilang -- pada masa yang sangat sukar yang ditempuhi semua orang di dunia, mereka tetap terus berusaha."

Hamilton menolak untuk menggunakan tayar lembut, sebaliknya memilih tayar sederhana ketika memasuki hentian pit buat kali kedua. 

"Strategi yang akan kami ketengahkan dan jenis tayar yang bakal digunakan adalah sesuatu yang amat saya ambil kira sebelum perlumbaan ini," jelasnya.

"Saya sedar bahawa saya boleh memilih tayar yang mempunyai ketahanan yang lebih lama daripada yang kami rancangkan dan saya juga boleh mendapatkan gambarannya selepas memasuki hentian pit buat kali pertama. 

"Saya rasa strategi yang kami miliki adalah tepat. Pada akhirnya saya tidak perlu mengambil risiko untuk menggunakan tayar lembut. Saya menggunakan tayar sederhana baru yang saya rasakan ia satu pilihan terbaik."

Perlumbaan itu menyaksikan pelumba Britain tersebut melakar rekod sebagai pelumba F1 terbanyak yang pernah menaiki podium. 

Menerusi empat kemenangan dalam enam perlumbaan musim ini, pelumba berusia 35 tahun itu di kedudukan terbaik untuk menyamai rekod tujuh gelaran dunia milik Michael Schumacher.

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen