Pelumba Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton, mencerahkan peluang untuk meraih kejuaraan Formula Satu (F1) musim ini selepas meraih petak hadapan menjelang Grand Prix (GP) Malaysia di Sepang, esok.

Cuaca mendung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menyaksikan Hamilton bermula baik dalam sesi kelayakan pertama.

Dia merekodkan 1 minit 31.605 saat bagi meletakkannya di kedudukan selesa.

Sementara itu, masalah jentera Ferrari yang dialami Sebastian Vettel menjadikannya pelumba tunggal yang tidak melakukan sebarang catatan masa, sekaligus tersingkir dalam kelayakan pertama.

Sesi kelayakan kedua pula menyaksikan rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas, menjadi pelumba terpantas menerusi catatan 1:30.803s.

Namun, ia tidak menyekat Hamilton yang terus cemerlang dalam sesi kelayakan ketiga. Catatan 1:30.076s meletakkan dia mengungguli saingan kali ini untuk meraih petak hadapan buat kali keempat berturut-turut di Sepang.