Lewis Hamilton terus melebarkan jurang dengan menghimpun 306 mata dalam kedudukan keseluruhan senarai pemandu apabila muncul juara Grand Prix (GP) Formula Satu Jepun di Litar Suzuka, hari ini.

Pelumba Mercedes itu mencatat 1 jam 27 minit 31.194 saat, mengatasi pelumba Red Bull, Max Verstappen, dengan perbezaan 1.211 saat di kedudukan kedua.

Hamilton mendominasi perlumbaan dari awal, dengan masalah jentera membelenggu Sebastien Vettel yang memaksa pemandu Jerman itu berundur selepas beraksi hanya empat pusingan.

Selepas ketiadaan Vettel, cabaran Hamilton hadir daripada dua pemandu Red Bull dengan juara GP Malaysia, Verstappen, berada pada kemuncak prestasi.

Namun, pengalaman menjadi kunci kejayaan Hamilton di Litar Suzuka sementara Verstappen akur di tempat kedua disusuli Daniel Ricciardo melengkapkan perlumbaan di kedudukan ketiga.

Kejayaan Hamilton ini menyaksikan dia semakin mengukuhkan cengkaman dalam kedudukan keseluruhan dengan kini mempunyai kelebihan 59 mata di hadapan Vettel berbaki empat pusingan lagi untuk diharungi.

Kedudukan keseluruhan pemandu:

1. Lewis Hamilton (Mercedes) 306 mata
2. Sebastian Vettel (Ferrari) 247 mata
3. Valtteri Bottas (Mercedes) 234 mata
4. Daniel Ricciardo (Red Bull) 192 mata
5. Kimi Raikkonen (Ferrari) 148 mata
6. Max Verstappen (Red Bull) 111 mata
7. Sergio Perez (Force India) 82 mata
8. Esteban Ocon (Force India) 65 mata
9. Carlos Sainz (Toro Rosso) 48 mata
10. Nico Hulkenberg (Renault) 34 mata