Juara dunia lima kali, Lewis Hamilton, mengancam untuk bersara daripada perlumbaan Formula Satu (F1) andai penganjur terus menambah perlumbaan ke dalam kalendar yang sudah pun padat.

Hamilton meraih gelaran pemandu dengan menamatkan Grand Prix (GP) Mexico di kedudukan keempat, iaitu perlumbaan ke-19 tahun ini.

Brazil dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah dua perlumbaan akhir musim ini dengan aksi terdekat bakal berlangsung 25 November ini, lapan bulan selepas tirai perlumbaan disingkap di Melbourne.

Jadual 2019 juga menawarkan 21 perlumbaan, begitupun kempen akan bermula dari pertengahan Mac hingga awal Disember sambil penganjur, Liberty Media, berminat untuk menambah perlumbaan.

Pada 2020, GP Vietnam pertama akan berlangsung sementara timbul cadangan perlumbaan tambahan di Amerika Syarikat, iaitu di Miami.

Bagaimanapun, Hamilton tidak berminat dengan cadangan tersebut dengan menegaskan dia akan meninggalkan sukan itu sekiranya tambahan perlumbaan dibuat.

"Saya tidak akan berada di sini jika kempen membabitkan 25 perlumbaan, itu sudah pasti," kata pemandu Mercedes itu menjelang GP Brazil.

"Ketika ini pun, sudah terasa seperti kami terbabit dalam 25 perlumbaan, jadi saya tidak fikir ia adalah perkara yang bagus, 18 perlumbaan mungkin adalah yang terbaik.

"Saya amat menyukai perlumbaan tetapi musim perlumbaan seakan-akan terlalu panjang. Bagi kami, ini adalah komitmen besar dan tidak banyak masa dapat diluangkan bersama keluarga. Kempen mengambil masa yang panjang dan masa bersama keluarga semakin singkat.

"Apa yang boleh saya lakukan adalah untuk diri saya sendiri. Dengan rehat yang begitu singkat, kami perlu mula bersiap untuk menghadapi musim depan dengan menetapkan minda yang betul, itu sesuatu yang sangat sukar dilakukan.

"Selepas rehat, kami perlu mendapatkan rentak dan pada masa sama, perlu menjalani program pemulihan."