Lewis Hamilton berasa kecewa dengan caranya melengkapkan kejuaraan pelumba Formula Satu 2017, apabila menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan dalam Grand Prix Mexico, awal pagi tadi.

Perlanggaran dengan Sebastian Vettel dalam pusingan pembukaan membuatkan kedua-dua pemandu kembali bergelut untuk bersaing, dengan pelumba Jerman itu perlu menamatkan saingan dalam kelompok kedua bagi terus menghidupkan peluang memburu gelaran juara.

Hamilton mengatasi Fernando Alonso untuk menduduki tangga kesembilan dalam pusingan terakhir, membuatkan Vettel memerlukan kemenangan -- prestasi yang tidak diharapkan apabila Vettel melintasi garisan penamat di tempat keempat.

Ia jauh daripada cara yang glamor untuk Hamilton menandakan hari bersejarahnya, ketika dia menjadi pemandu British pertama memenangi empat gelaran pemandu dengan menyertai Vettel dan Alain Prost.

"Secara jujur, ia satu cara yang teruk untuk melakukannya," katanya kepada Sky Sports. "Tapi apa yang boleh saya lakukan?

"Saya beritahu anda, tidak mudah bagi saya pada selekoh pertama dan saya tidak fikir saya terlalu agresif atau apa-apa sahaja seperti itu.

"Saya tidak sabar untuk melihat respons. Saya meninggalkan banyak ruang untuk kereta di belakang. Tetapi saya tetap pergi dan saya terus bangkit.

"Hari ini tidak seperti biasa. Ketinggalan 40 saat di belakang adalah teruk, ia seperti buntu. Anda hanya perlu fikir ke depan.

"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku mengenai kejuaraan, saya hanya berfikir tentang terlibat dalam perlumbaan.

"Ini adalah trek yang sukar -- jika bukan trek yang teruk -- jadi mencuba untuk melepasi pelumba lain adalah teruk. Perasaan saya sekarang bercampur-baur."

Mengulas mengenai gelaran keempatnya, Hamilton menambah: "Saya sangat gembira dengan kejuaraan keempat ini.

"Saya perlu mengambil sedikit masa lagi untuk benar-benar memikirkannya tetapi saya bangga dengan bendera (Britain) dan semua orang yang mewakilinya.

"Saya berharap mereka yang menonton gembira dengan keputusan tahun ini dan saya akan terus bangkit setinggi yang boleh," tambahnya.


Keputusan Grand Prix Mexico:

1. Max Verstappen (Red Bull)
2. Valtteri Bottas (Mercedes) +19.678s
3. Kimi Raikkonen (Ferrari) +54.007s
4. Sebastian Vettel (Ferrari) +70.078s
5. Esteban Ocon (Force India) +1 lap
6. Lance Stroll (Williams) +1 lap
7. Sergio Perez (Force India) +1 lap
8. Kevin Magnussen (Haas) +1 lap
9. Lewis Hamilton (Mercedes) +1 lap - Juara
10. Fernando Alonso (McLaren) +1 lap

Kedudukan pelumba

1. Lewis Hamilton (Mercedes) 333
2. Sebastian Vettel (Ferrari) 277 (-56)
3. Valtteri Bottas (Mercedes) 262 (-71)
4. Daniel Ricciardo (Red Bull) 192 (-141)
5. Kimi Raikkonen (Ferrari) 178 (-155)

Kedudukan pengeluar

1. Mercedes 595 - Juara
2. Ferrari 455 (-140)
3. Red Bull 340 (-255)
4. Force India 175 (-420)
5. Williams 76 (-519)