Pelumba sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah, berazam memberikan persembahan terbaik kepada peminat tempatan dalam perlumbaan terakhirnya dalam kelas MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hujung minggu ini.

Pelumba Red Bull KTM Tech 3 itu berkata dia akan sedaya-upaya melakukan yang terbaik dalam perlumbaan berkenaan kerana menyedari ramai peminat permotoran tempatan meletakkan harapan tinggi kepadanya untuk beraksi cemerlang di laman sendiri.

"Saya akan memberi yang terbaik dalam perlumbaan terakhir saya sebagai pelumba kelas MotoGP di SIC hujung minggu ini tetapi saya tidak berani menjanjikan sasaran kedudukan ke berapa saya akan tamat nanti memandangkan keadaan jentera saya.

"Perlumbaan hujung minggu nanti akan menjadi kenangan paling manis buat saya kerana pada musim hadapan, saya akan turun satu anak tangga beraksi dalam kelas Moto2," katanya kepada pemberita.

Hafizh berkata demikian ketika ditemui semalam selepas menyertai perlawanan bola sepak persahabatan di antara pasukannya, Pescao Rosar, menentang Pasukan Sepang Racing Team (SRT) FC yang diketuai Ketua Pasukan SRT, Datuk Razlan Razali.

Tambah pelumba kelahiran Ampang, Selangor itu, dia berazam untuk memberikan yang terbaik pada musim depan bagi mencerahkan peluangnya untuk kembali ke kelas perdana perlumbaan berkenaan pada tahun 2021.

Pada awal bulan ini, Hafizh mengesahkan dia telah menandatangani kontrak selama setahun bersama pasukan Angel Nieto Team untuk beraksi dalam kategori Moto 2 bagi musim depan.

"Peluang untuk saya kembali ke kelas MotoGP pada 2021 agak cerah kerana kebanyakan pelumba mengikat kontrak bersama pasukan mereka selama dua tahun, 2019 dan 2021. Bagaimanapun, saya mesti beraksi cemerlang dan memberikan yang terbaik dalam perlumbaan pada tahun hadapan dan insha-Allah, saya akan kembali ke MotoGP," katanya.

Perlawanan persahabatan itu turut disertai ramai pelumba MotoGP yang lain, antaranya Johann Zarco, Franco Morbidelli, Maverick Vinales, Ayumu Sasaki, John Mcphee dan Fabio Quartararo.

Dalam perlawanan berkenaan Pescao Rosar membelasah SRT FC 10-2.

-- BERNAMA