Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin, mengakui kesilapan membuat percaturan memakan dirinya ketika sesi kelayakan Kejohanan Motorsikal Dunia (MotoGP) Malaysia, namun yakin mampu mengejar kelompok hadapan pada hari perlumbaan, esok.

Hafizh bermula cemerlang ketika awal saingan sesi kelayakan.

Bagaimanapun, sikap was-was untuk menukar tayar ketika menuju penghujung sesi kelayakan menyebabkan Hafizh gagal meneruskan momentum untuk menempatkan diri dalam kelompok terbaik.

Dengan catatan 2 minit 23.213 saat, Hafizh akan memulakan saingan pada hari perlumbaan di petak ke-14, dan dia yakin mampu memperbaiki kedudukan itu setelah melakukan analisis bersama pasukan Petronas Raceline Malaysia.

"Saya yakin boleh melakukan yang lebih baik dengan kedudukan ke-14 ini. Apapun, hari perlumbaan esok lebih penting dan posisi pada hari ini juga tidaklah teruk kerana di kedudukan pertengahan," jelasnya.

Paling tidak disangkakan, pelumba wild card negara, Ramdan Rosli, berjaya mencipta kejutan untuk melakar masa terbaik pada sesi kelayakan dengan catatan 2 minit 22.697 saat untuk menempatkan diri di petak ke-12.

Pemuda berusia 20 tahun itu ternyata tidak menyangka tunggangannya hari ini membuahkan keputusan yang positif sambil mengharapkan momentum ini dapat diteruskan esok.

"Sudah tentu ini penampilan kedua Moto2 saya di Sepang. Saya gembira kerana dapat melakukannya di laman sendiri dan ini juga merupakan keputusan terbaik saya dalam sesi kelayakan Kejuaraan Dunia.

"Saya hadiahkan detik ini kepada pasukan saya kerana keputusan ini yang dikira agak baik bagi saya," kata Ramdan.