Hafizh terkilan saingan GP Malaysia dibatalkan

Oleh Ammar Hakim 1 Ogos 2020 573
Hafizh terkilan saingan GP Malaysia dibatalkan
Jika peminat sukan permotoran tanahair berasa kecewa tentang pembatalan kejuaraan motosikal dunia (MotoGP), apa tah lagi perasaan pelumba sendiri?
 
Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, jelas terkilan selepas terpaksa melupakan perlumbaan paling menarik dalam kalender MotoGP yang sepatutnya berlangsung 30 hingga 1 November ini terutama apabila ia melibatkan sokongan padu rakyat Malaysia. 

Perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia (GP Malaysia)  2020, salah satu perlumbaan paling menarik dalam kalendar MotoGP yang dijadualkan pada 30 Oktober hingga 1 November, dibatalkan susulan pandemik COVID-19.

Badan pentadbir sukan permotoran -- Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM), Persatuan Pasukan Pelumba Antarabangsa (IRTA) dan Dorna Sports dalam satu kenyataan bersama hari ini mengumumkan selain pembatalan GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), turut dibatalkan perlumbaan GP Argentina dan Thailand.

Bagaimanapun, badan pentadbir sukan permotoran itu memutuskan untuk menambah venue GP (masih belum diputuskan) di Eropah dalam kalendar Kejuaraan MotoGP yang dijadual pada 20-22 November, yang juga perlumbaan terakhir musim ini, menjadikan semua perlumbaan MotoGP musim 2020 berlangsung di Eropah.

"Sebagai pelumba MotoGP Malaysia, tidak beraksi di litar Sepang sesuatu yang mengecewakan. Namun ia telah dibatalkan ekoran Covid-19. Suasana beraksi di Eropah tanpa penonton tidak banyak beza jika dibandingkan di Sepang dengan kehadiran penonton di Sepang sesuatu yang meningkatkan semangat saya untuk memberikan yang terbaik," kata Hafizh ketika dihubungi Nadi Arena.

Sementara itu, Prinsipal Pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing (SRT), Datuk Razlan Razali, berasakan ia keputusan terbaik yang boleh dibuat tatkala penularan wabak Covid-19 belum reda meskipun pasukannya SRT berada di prestasi terbaik dari semasa ke semasa. 

"Jika saya masih lagi bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang (SIC), saya juga akan mengambil keputusan yang sama kerana ia adalah langkah yang terbaik," kata Razlan.

"Daripada segi kewangan, penganjuran saingan tanpa kehadiran penonton juga akan memberikan impak kepada litar Sepang.

"Bagi pelumba-pelumba seperti Hafizh dan Khairul Idham Pawi agak kecewa kerana tidak dapat beraksi di laman sendiri dan menasihatkan mereka supaya memberikan persembahan terbaik dalam perlumbaan akan datang."

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen