Hafizh Syahrin sasar podium di Sepang musim depan

Oleh Staff Writer 31 Oktober 2016 0
Hafizh Syahrin sasar podium di Sepang musim depan

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin, ternyata tidak mengecewakan apabila berjaya meletakkan dirinya kembali dalam kelompok lima terbaik ketika hari saingan GP Malaysia, semalam.
 
Sebelum saingan bermula, Hafizh sudah pun melaungkan keyakinan untuk memperbaiki rekodnya di Sepang sebelum ini.

Musim lalu, Hafizh hanya memperoleh kedudukan kelapan dalam saingan Moto2.

"Kali ini, setiap kali saya beraksi di Sepang, ada menampakkan kemajuan. Musim lalu saya mendapat tempat kelapan dan tahun ini saya mendapat tempat kelima.

"Jadi, untuk tahun hadapan saya mahu menaiki podium," katanya.

Kejutan juga dilakar dua pelumba wild card negara, Ramdan Rosli dan Hafiq Azmi, yang tidak langsung diberikan sebarang harapan.

Ramdan, yang beraksi dalam kelas Moto2, meraih kejayaan terbaiknya sepanjang bergelar pelumba profesional apabila menduduki tempat ke-12 manakala Hafiq, yang sudah setahun tidak bersaing dalam kancah perlumbaan profesional, mendapat tempat ke-11 dalam saingan Moto3.

"Sudah tentu apabila mendapat keputusan yang baik, ia akan menjadi perhatian orang. 

"Bagaimanapun, fokus saya ketika ini adalah untuk memperbaiki lagi teknik saya," ujar Ramdan.

Sementara itu, Hafiq berharap aksi dipamerkannya mampu membuka peluang buat dirinya meraih kepercayaan pasukan baharu.

"Saya harap akan ada pasukan yang akan memberi peluang kepada saya kerana saya mahu beraksi di Kejohanan Dunia."

Buat pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi dan Adam Norrodin, hujan di litar Sepang ternyata tidak memberikan mereka kelebihan apabila kelihatan bergelut mempamer tunggangan yang mantap.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen