Pelumba sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah, membuktikan dirinya bukan seorang yang mudah berputus asa, sebaliknya telah menunjukkan kebangkitan walaupun perlumbaan MotoGP bagi musim 2019 belum menutup tirai.

Hafizh Syahrin, yang bakal ‘turun pangkat’ ke perlumbaan kelas Moto2, sudah pun menetapkan sasaran untuk berada dalam kedudukan kelompok lima terbaik bagi perlumbaan musim 2020 bersama pasukan barunya yang berpangkalan di Sepanyol, Angel Nieto.

Pelumba berusia 25 tahun itu memasang tekad untuk memberikan persembahan lebih tekal musim depan selain mencabar dirinya untuk kembali ke saingan MotoGP.

"Harapan saya sudah pasti untuk melakukan yang terbaik. Saya mahu perbaiki kelemahan dalam mencapai keputusan positif dalam Moto2 untuk cuba kembali ke MotoGP jika berpeluang.

"Bagi saya, Moto2 tidak begitu sukar taktikalnya daripada segi jentera kerana jentera Moto2 tidak banyak elektronik. Banyak guna keupayaan tangan pelumba sendiri. Insya-Allah saya akan beri saingan sengit dalam Moto2," katanya dalam sidang media ‘Hi-Rev Dream Chaser’ bersama Hafizh Syahrin.

Hafizh Syahrin kembali ke saingan Moto2 bersama pasukan Angel Nieto pada 2020 selepas dua musim dalam kelas MotoGP dan 'bergelut' musim ini selepas bertukar kepada jentera KTM.

Hal itu menyaksikan dia gagal meraih keputusan memberangsangkan di samping tidak serasi dengan jentera kendaliannya itu.

Dia akan membuat penampilan terakhirnya dalam kelas MotoGP dalam Grand Prix Valencia bersama pasukan Red Bull KTM Tech3 pada 15-17 November ini, sebelum menguji jentera Angel Nieto, juga di Valencia.

"Perlumbaan terakhir ini beri saya motivasi untuk buat yang terbaik bagi pasukan saya sekarang. Ini juga untuk meningkatkan kembali semangat saya untuk bersama pasukan baru musim depan.

"Walaupun agak sedih untuk meninggalkan kelas MotoGP yang banyak beri peluang dan pengalaman bermakna kepada saya, namun saya terpaksa terima hakikat," katanya.

Hafizh Syahrin memulakan kariernya sebagai pelumba peluang khas pada 2011 sebelum menjadi pelumba dalam kelas Moto2 secara sepenuh masa pada 2014 apabila berjaya menamatkan perlumbaan sebagai 10 pelumba terbaik dengan beberapa kali menaiki podium pada 2016 dan 2017.

Pelumba kelahiran Ampang, Selangor itu, muncul pelumba Malaysia pertama yang bersaing dalam perlumbaan MotoGP pada 2018 apabila menyertai pasukan Yamaha Tech3 Racing.

-- BERNAMA