Dua pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi dan Adam Norrodin, gagal menyerlah dalam sesi kelayakan Kejohanan Motorsikal Dunia (MotoGP) Malaysia, hari ini.

Sebaliknya, Hafizh Syahrin dan Ramdan Rosli berpeluang menggegar Litar Antarabangsa Sepang (SIC) esok, sebaik menamatkan sesi kelayakan Moto2 di kedudukan ke-12 dan 14.

Walaupun terbabas, Ramdan tetap berjaya memastikan dia memulakan perlumbaan esok di petak ke-12 selepas mencatatkan masa 2 minit 22.697 saat.

Sementara itu, Hafizh yang mencuri tumpuan peminat sukan permotoran negara, bakal memulakan saingan di petak ke-14 selepas ketinggalan 4.592 saat di belakang Johann Zarco yang akan memulakan perlumbaan Moto2 di petak utama.

Franco Morbidelli muncul pelumba kedua terpantas manakala Axel Pons di kedudukan ketiga.

Saingan Moto3 pula menyaksikan Adam mencatatkan masa 2 minit 28.965 saat untuk mengisi kedudukan ke-18 dan juara dua kali musim ini, Khairul Idham, di tempat ke-20.

Dalam kategori itu, Brad Binder mengisi petak utama perlumbaan, disusuli Jorge Navarro dan Francesco Bagnaia.

Pelumba Ducati, Andrea Dovizioso, pula akan bermula di grid pertama saingan MotoGP selepas muncul terpantas di Sepang dengan masa 2 minit 11.485 saat bersama Jorge Lorenzo dan Valentino Rossi.