Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, terselamat daripada kemalangan ngeri dalam perlumbaan Grand Prix Austria di Litar Red Bull Ring semalam.

Insiden yang menghancurkan beberapa jentera itu menyaksikan pelumba dengan gelaran El-Pescao berkenaan hanya mengalami kecederaan tulang pelvis dan luka-luka di badan.

Hafizh Syahrin membuktikan betapa dia memiliki semangat seorang pejuang apabila memberi gambaran mahu beraksi dalam Grand Prix Styria di litar sama hujung minggu ini.

Dalam satu kiriman audio, dia berkata: "Saya amat bernasib baik kerana tiada tulang yang patah tetapi perlanggaran itu memang sangat kuat dan saya berasa sakit di kedua-dua kaki saya, terutama di sebelah kiri.

"Mungkin ia kecederaan ligamen tetapi saya tidak tahu.

"Kaki saya tidak patah tetapi ia terasa seperti patah.

"Apabila anda mengalami perlanggaran sekuat itu, sudah pasti akan ada kecederaan ligamen tetapi saya masih tidak tahu.

"Kini saya hanya menggunakan topang ketiak untuk membantu saya berjalan.

"Saya cuba untuk pulih secepat mungkin dan melihat sama ada saya dapat berlumba hujung minggu ini atau tidak," katanya.

Get well soon !! #Repost @hafizh_syahrin with @make_repost ・・・ Alhamdullilah,Terima Kasih All for the message! ❤️?? #RezekiDariAllah #teamHS #HS55

A post shared by Astro Arena 801 & 802HD (@astroarenahd) on


Insiden yang menimpa Hafizh Syahrin itu menyaksikan perlumbaan berkenaan terpaksa dimulakan semula dan dipendekkan kepada 13 pusingan.

Ia bermula apabila pelumba Italtrans Racing Team, Enea Bastianini, tergelincir di selekoh pertama pusingan keempat dan jenteranya tertinggal di tengah-tengah litar.

El Pescao yang sedang memecut pada kelajuan 220km/j gagal mengelak dan bertembung dengan jentera Bastianini.

Kemalangan itu menyaksikan Hafizh Syahrin melambung tinggi dan kedua-dua jentera berkenaan berkecai sebelum bendera merah dikibarkan.

Pelumba berusia 26 tahun itu kemudian dikejarkan ke pusat perubatan sebelum disahkan tidak mengalami kecederaan serius di hospital.