Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin, menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-15 dalam saingan terakhir Grand Prix (MotoGP) musim 2016 di Valencia, hari ini.

Penunggang pasukan Petronas Raceline Malaysia yang menggunakan jentera Kalex itu mengutip satu mata dan tidak mengubah kedudukannya di tangga kesembilan dalam senarai keseluruhan pelumba musim ini.

Dalam pada itu, pelumba Perancis, Johann Zarco, mengungguli Litar Valencia selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan 43 minit 17.626s, 3.281s meninggalkan Thomas Luthi (kedua) dan Franco Morbidelli (ketiga).

Johann turut menjuarai Moto2 musim ini selepas mengumpul 276 mata, diikuti Luthi (234) dan Alex Rins (214).

Sementara itu, dua pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi dan Adam Norrodin, sekadar menamatkan perlumbaan pusingan ke-18 itu masing-masing di tempat ke-25 dan 27.

Dalam senarai keseluruhan, Khairul Idham kekal berada di kedudukan ke-19 dan Adam ke-28, sementara seorang lagi pelumba negara, Hafiq Azmi, berada di tempat ke-33.

Pelumba Russia, Brad Binder, terus menguasai senarai keseluruhan pelumba Moto3 apabila memenangi perlumbaan di Valencia dengan catatan 40 minit 13.777s, 0.056s mengatasi pelumba Sepanyol Joan Mir (kedua) dan Andrea Migno (ketiga).

Tempat kedua dan ketiga senarai keseluruhan pelumba Moto2 masing-masing dimenangi dua pelumba Honda, Enea Bastianini dan Jorge Navarro.