Hafizh sandaran utama negara dalam permotoran

Oleh Penulis Jemputan 21 Disember 2017 314
Hafizh sandaran utama negara dalam permotoran
Pelbagai kisah mewarnai sukan permotoran negara untuk musim 2017 -- daripada prestasi menakjubkan pelumba Moto2, Hafizh Syahrin Abdullah, sehingga ke penganjuran edisi terakhir perlumbaan Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Ibarat skrip 2016, sandaran utama sukan permotoran negara masih tertumpu kepada barisan pelumba motorsikal, khususnya Hafizh.

Dua kedudukan podium dan menamatkan saingan DI tangga ke-10 dalam kelas Moto2 sudah cukup membuktikan Hafizh adalah sandaran utama Malaysia dalam sukan ini.

"Sepanjang musim ini, saya berpuas hati sebab saya mendapat dua podium dan meraih tempat keenam dua kali walaupun pada awalnya saya agak berhempas-pulas.

"Saya hanya melakukan yang terbaik. Saya berharap dapat membuat lebih baik pada tahun depan untuk berada dalam kelompok kelima," katanya.

Tidak dilupakan Adam Norrodin yang turut cemerlang di peringkat Asia sementara Azlan Shah Kamaruzaman pula unggul merangkul mahkota juara supersport 600cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dalam perlumbaan yang mendebarkan di Litar Buriram, Thailand.

"Perlumbaan terakhir ini agak mendebarkan dengan kedudukan mata tidak jauh beza. Drama dalam perlumbaan pun macam-macam.

"Bila mengetahui saya juara keseluruan, saya sangat gembira," kata Azlan Shah.

Pada peringkat tempatan juga, tidak dilupakan kebangkitan pelumba muda, Kasma Daniel Kasmayudin dan Mohd Akid Aziz, yang mengungguli saingan Cub Prix kelas CP150 dan CP115.

Sementara itu, 2017 juga menjadi tahun terakhir buat penganjuran F1 di SIC selepas ia mula dianjurkan pada 1999.

Perlumbaan GP Malaysia 2017 menyaksikan pelumba Red Bull-Tag Heuer, Max Verstappen, dinobatkan juara terakhir F1 di SIC.

Permotoran: Pencapaian musim 2017

Litar Sepang
• Anugerah Penganjuran Grand Prix Terbaik (MotoGP Sepang)
 
Hafizh Syahrin Abdullah
• Naib juara Moto2 GP Itali
• Tempat ketiga Moto2 GP Jepun
• Kedudukan ke-10 keseluruhan Moto2 2017

Azlan Shah Kamaruzaman
• Juara kesuluruhan Supersport 600cc ARRC

Zaqwan Zaidi
• Naib juara kesuluruhan Supersport 600cc ARRC

Akid Aziz
• Juara keseluruhan Underbone 150cc Cub Prix)

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen