Hafizh optimis raih gelaran muka baru terbaik

Oleh Penulis Jemputan 5 November 2018 3858
Hafizh optimis raih gelaran muka baru terbaik
Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah kekal, optimis dengan peluangnya merebut gelaran pelumba muka baru terbaik musim ini selepas menamatkan saingan Grand Prix Malaysia semalam di kedudukan ke-10.

Hafizh bangkit daripada kekecewaan sewaktu pusingan kelayakan apabila tampil cemerlang untuk meraih kedudukan ke-10 dalam perlumbaan yang penuh emosi buat dirinya.

Selain itu, dia turut menamatkan saingan di depan Franco Morbidelli, dengan kedua-dua pelumba itu bersaing hebat bagi gelaran pelumba muka baru terbaik.

Selepas tamat saingan di Sepang, Morbidelli mempunyai kelebihan 10 mata di depan menjelang perlumbaan terakhir di Valencia, 18 November ini.

"Lebih bersemangat apabila pasukan memberikan semangat supaya meraih pengalaman terbaik. Saya akan cuba menampilkan persembahan terbaik di Valencia dan penampilan terakhir bersama Yamaha sebelum menyertai pasukan KTM," kata Hafizh.

Sementara itu, pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin, tidak akan berputus asa di sebalik kekecewaan menamatkan saingan di kedudukan ke-23 semalam.

Dia yang pada satu ketika berada di kedudukan ketujuh, terbabas ketika saingan berbaki dua pusingan untuk ditamatkan.

Paling mengecewakan, ini perlumbaan terakhir buat pelumba berusia 20 tahun ini dalam kategori Moto3 di Sepang kerana akan menyertai Kejohanan CEV Sepanyol musim depan.

"Ini adalah perlumbaan terakhir dalam saingan Moto3 dan saya mahu cuba melakukan yang terbaik. Saya berharap akan kembali ke podium dan mencapai sasaran yang telah ditetapkan," kata Adam.

Imej: SIC

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen