Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, bertekad untuk mengejar kedudukan lapan terbaik keseluruhan dalam pusingan ke-17 perlumbaan Grand Prix Malaysia (MotoGP) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hujung minggu ini.

Meskipun gagal menamatkan saingan ketika perlumbaan di Litar Phillip Island, Australia kelmarin kerana terlibat dengan kemalangan, Hafizh tampak tidak terganggu dengan insiden itu.

Bersemangat untuk menghadapi pusingan paling dinanti-nantikan musim ini di Sepang, Hafizh memasang impian untuk menaikii podium di litar sendiri.

"Masih ada peluang lagi kerana kedudukan di nombor lapan (Lorenzo Baldassarri) hanya berbeza enam mata dengan saya. Jadi, di Sepang, saya yakin untuk menamatkan saingan di hadapan pelumba tersebut.

"Dari segi latihan, saya melihat saya lebih kuat daripada pelumba tersebut," kata Hafizh.

Hafizh, yang berlumba untuk pasukan Petronas Raceline Malaysia, kini berada di kedudukan kesembilan dengan mengumpul 106 mata, kurang enam mata di belakang Baldassarri (112 mata).

Bagi seorang lagi pelumba tempatan, Ramdan Rosli, dia mengakui cabaran dalam saingan Moto2 adalah tinggi, apatah lagi bakal beraksi sebagai pelumba wildcard.

Namun, anak kelahiran Meru, Klang ini tetap mahu mempamerkan aksi membanggakan di hadapan penonton tempatan hujung minggu ini.

"Untuk hujung minggu ini di Sepang, saya akan mencuba untuk mendapatkan tetapan motor yang terbaik, dan seawal yang mungkin untuk saya memberikan persembahan yang lebih baik," katanya.

Saingan Moto2 kini dikuasai pelumba Perancis dari pasukan Ajo Motorsport, Johann Zarco, diikuti pelumba Garage Plus Interwetten, Thomas Luthi (kedua), dan pelumba Paginas Amarillas HP 40, Alex Rins (ketiga).