Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah, hanya ketinggalan empat mata untuk meraih gelaran muka baru terbaik 2018 selepas menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Valencia di tempat ke-10.

Secara keseluruhan, kedudukan muka baru 2018 menyaksikan pelumba pasukan Monster Yamaha Tech 3 itu mengumpul 46 mata di kedudukan kedua di belakang pemenang, Franco Morbidelli, daripada pasukan EG 0.0 Marc VDS dengan kutipan 50 mata selepas 19 perlumbaan tahun ini.

“Banyak yang saya belajar. Akhirnya, saya hanya empat mata di belakang 'rookie' terbaik, Franco Morbidelli. Tahniah kepada beliau. Saya telah lakukan yang terbaik. Saya nak ucapkan terima kasih kepada penaja kami, keluarga dan peminat yang menyokong saya.

“Saya gembira berlumba dalam Moto GP. Minggu depan kami mulakan perjalanan baru dan saya akan terus bekerja keras. Terima kasih semua,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan pasukan Monster Yamaha Tech 3 hari ini.

Dalam perlumbaan di Litar Valencia, Sepanyol semalam, Hafizh Syahrin yang bermula dari petak ke-21 mempamerkan tunggangan cemerlang sehingga tempat ke-10 sebelum perlumbaan dihentikan susulan litar basah sehingga menyebabkan beberapa pelumba terbabas.

Dalam perlumbaan kedua yang menyaksikan saingan 15 pelumba, Hafizh Syahrin bermula di petak ke-10 mengekalkan rentak tunggangan di posisi yang sama sehingga tamat perlumbaan dengan catatan masa 24:40.606s untuk meraih enam mata dalam perlumbaan itu.

Perlumbaan itu dimenangi Andrea Dovizioso dari pasukan Ducati dengan catatan masa terpantas 24 minit 03.408 saat, menewaskan Alex Rins dari pasukan Suzuki Ecstar 24:06.158s di tempat kedua dan Pol Espargaro dari pasukan Red Bull KTM Factory Racing melengkapkan podium dengan catatan masa 24:10.814s.

“Pertamanya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya. Kami tidak menjangkakan akan dapat mencapai kedudukan 10 terbaik di litar basah. Banyak perkara berlaku, ramai penunggang jatuh. Kami berhenti berlumba dan saya di kedudukan ke-10.

"Saya percaya kami boleh memberikan saingan kepada pelumba lain. Untuk saya, inilah perlumbaan pertama dalam keadaan litar basah yang saya dapat bersaing hingga tamat perlumbaan,” katanya.

Secara keseluruhan Hafizh Syahrin menamatkan saingan musim pertamanya dalam kelas MotoGP di kedudukan ke-16 dunia dengan 46 mata.

Juara dunia milik Marc Marquez dari Sepanyol dengan 321 mata, diikuti Andrea Dovizioso dari Itali di kedudukan kedua (245 mata) dan Valentino Rossi dari Itali di tempat ketiga dengan 198 mata.

-- BERNAMA