Satu fasa hidup baru bakal dilalui pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, yang turut memberi semangat berterusan kepada kariernya apabila akan menamatkan zaman bujang bersama pilihan hati pada bulan depan.

Tanggungjawab lebih besar menanti Hafizh bukan sahaja bersama pasukan baharu, Petronas Sprinta Racing, tetapi turut akan berkongsi hidup sebagai suami tidak lama lagi.

Jelasnya, hubungan selama hampir dua tahun itu sudah tiba masa untuk diikat, sambil menyifatkan bakal isterinya akan sentiasa menjadi tulang belakang kepada setiap kejayaan yang diraih dan cabaran besar yang bakal dilalui pada musim depan.

"Bulan depan adalah hari besar bagi saya. Saya akan mendirikan rumah tangga dengan calon pilihan saya. Saya harap saya dapat menjadi suami yang baik.

"Persiapan kahwin agak penat sedikit sebab saya berlatih tanpa henti sekarang ini," katanya.

Dalam pada itu, Hafizh enggan skrip sama berulang sewaktu aksi pertamanya dalam Grand Prix (GP) Qatar pada Mac lalu apabila gagal menamatkan perlumbaan untuknya memulakan musim 2018 dengan lebih baik.

Katanya, sasaran berada dalam kelompok lima teratas musim depan tidak mustahil, sekali gus mencerahkan peluang untuknya berlumba dalam kelas MotoGP pada 2019.

"Saya berpuas hati sepanjang musim ini sebab saya menaiki podium dua kali dan mendapat tempat keenam dua kali.

"Walaupun awal musim saya berhempas-pulas, saya melepasi sasaran 100 mata. Saya harap saya beraksi lebih baik tahun depan dan dapat menduduki kelompok lima terbaik dalam Moto2," tambahnya.