Pelumba utama negara, Hafizh Syahrin Abdullah, mempamerkan kebangkitan di depan penyokong sendiri untuk menyerikan penampilan terakhirnya dalam kelas MotoGP dalam Grand Prix (GP) Malaysia apabila bakal beralih ke pentas Moto2 tahun depan.

Hafizh Syahrin terpaksa memulakan saingan di petak ke-20 setelah bergelut dengan jenteranya sejak hari pertama sesi latihan di Sepang.

Namun, pelumba kelahiran Selangor itu bijak menggunakan kesempatan untuk maju ke depan dan menamatkan saingan di tangga ke-16 setelah beberapa pelumba terdiri daripada Johann Zarco, Carl Crutchlow dan Andrea Iannone terlibat dengan kemalangan.

Biarpun gagal meraih sebarang mata untuk perlumbaan kali ini, persembahan pelumba berusia 25 tahun itu tetap mendapat perhatian peminat dengan dia masih mempunyai perlumbaan terakhir di Valencia pada 17 November ini sebelum menutup tirai dua tahun pengalaman beraksi di pentas MotoGP.

"Boleh dikatakan saya berharap dapat meraih sekurang-kurangnya satu mata dalam perlumbaan di laman sendiri tetapi kedudukan ke-16 sudah begitu hampir. Ini yang saya mampu dan telah lakukan yang terbaik," katanya.

Sebelum itu, bagi saingan Moto2, Adam Norrodin, yang beraksi mewakili pasukan Petronas Sprinta Racing gagal mengawal jentera dengan baik sehingga menyaksikan dia gagal menghabiskan perlumbaan susulan terlibat dalam kemalangan ketika pusingan ke-13.

Ia seakan-akan ulangan edisi 2018 apabila Adam yang ketika itu beraksi dalam kelas Moto3 mengalami nasib sama di Litar Antarabangsa Sepang sebelum jatuh dengan perlumbaan berbaki dua pusingan sahaja lagi untuk ditamatkan.

"Sebenarnya, ini lebih mengecewakan berbanding tahun lalu kerana saya bermula dari belakang," katanya.