Jenazah pelumba Cub Prix, Hafiz Nor Azman, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serdang Permai selepas disembahyangkan di Masjid Saidina Umar Al Khattab, Ipoh sebelum solat Zohor tadi.

Allahyarham Hafiz, 22, meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ketika pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018 di Dataran Bandar Penawar, Johor kira-kira jam 4 petang semalam.

Difahamkan, Hafiz disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Kota Tinggi.

Jenazahnya tiba dari Kota Tinggi pagi ini dan dibawa ke kediaman keluarganya untuk dimandikan.

Sementara itu, legenda lumba motosikal negara, Wazi Abdul Hamid, berkata berdasarkan pengalamannya sebagai bekas pelumba negara, sebarang insiden yang berlaku dalam perlumbaan perlukan kajian menyeluruh.

“Berdasarkan pengalaman, saya rasa satu kajian menyeluruh boleh dilakukan bagi melihat bagaimana ia berlaku.

“Kajian itu perlu membabitkan semua pihak dan bukan sekadar penganjur tetapi semua pelumba bagi menanganinya supaya ia tidak lagi berlaku pada masa akan datang.

“Ia juga memerlukan pembabitan pakar dalam bidang berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarahi jenazah Hafiz hari ini.

Sementara itu, bapa Allahyarham, Nor Azman Md Darus, berkata pihaknya menyerahkan segala siasatan berhubung insiden itu kepada pihak penganjur untuk melihat bagaimana perkembangannya.

"Adakah litar itu selamat atau tidak. Harap pihak lain turut lihat perkara sama kerana takut benda (insiden) ini berulang lagi.

"Harap pihak yang berkenaan juga tolong tengok bila ada perlumbaan, terutama membabitkan ciri-ciri keselamatan, kerana semalam saya lihat kurang sikit (aspek keselamatannya)," ujarnya.

Ditanya bagaimana keadaan anaknya selepas insiden itu berlaku petang semalam, Nor Azman berkata dia tidak dapat melihat dengan dekat keadaan anaknya tetapi dimaklumkan keadaannya kritikal.