Lewis Hamilton percaya bahawa pemandu "generasi baru" Formula Satu (F1) menerima layanan 'mesra' selepas Charles Leclerc terlepas hukuman dalam Grand Prix (GP) Itali, malam tadi.

Juara bertahan itu berasakan dia tidak diberi ruang yang mencukupi untuk memintas pemandu petak hadapan itu di ruang 'chicane' selekoh ke-23, Della Roggia itu, apabila hanya dikibarkan bendera berpetak hitam dan putih sebagai tanda amaran.

Pemandu Mercedes itu kemudiannya membangkitkan tentang "pemanduan berbahaya" berkenaan selain Leclerc menggunakan brek untuk cuba mempertahankan posisinya di chicane pertama.

Cabaran Hamilton untuk merebut kemenangan berakhir apabila masalah tayar menjadi punca dia terlepas dua selekoh pertama untuk dipintas Valtteri Bottas, yang juga gagal menyekat bintang Ferrari berkenaan daripada meraih kemenangan kedua berturut-turut untuk menyusuli kejayaan dalam GP Belgium, minggu lalu, untuk menceriakan penyokong di tempat sendiri.

"Ia (satu perlumbaan yang) menyeronokkan. Tidak kira apa yang saya fikirkan (mengenai penggunaan brek oleh Leclerc). Saya tidak mempunyai apa-apa (alasan) untuk mengulasnya," kata pemandu Britain itu.

"Kami telah berulang-ulang kali menghadapinya jadi tiada gunanya saya membangkitkannya (isu itu). Saya mengelak daripada (berlakunya) perlanggaran untuk terus memberi tumpuan kepada usaha menghambatnya.

"Nampaknya (pemandu) generasi baru sering mendapat layanan berat sebelah di kedudukan itu, di ruang itu, dengan cara pemanduan mereka berbanding mereka yang lebih berpengalaman.

"Tetapi ia satu pengetahuan yang baik. Sekarang saya tahu (cara itu)... Saya berharap dapat terus memandang ke depan."

Bagaimanapun, ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff, enggan memanjangkan isu pemanduan Leclerc itu.

"Saya mempunyai begitu banyak masalah dalam hidup saya untuk diselesaikan, begitu juga dengan (pengarah perlumbaan F1) Michael Masi. Mereka berdua (Hamilton dan Leclerc) seharusnya dikenakan penalti," kata Wolff kepada Sky Sports.

"Mereka (Ferrari) memang berhak memenangi perlumbaan, mereka mempunyai jentera terkuat di sini."


Keputusan:

1. Charles Leclerc (Ferrari)
2. Valtteri Bottas (Mercedes) +0.835 saat
3. Lewis Hamilton (Mercedes) +35.199s
4. Daniel Ricciardo (Renault) +45.515s
5. Nico Hulkenberg (Renault) +58.165s
6. Alexander Albon (Red Bull) +59.315s
7. Sergio Perez (Racing Point) +73.802s
8. Max Verstappen (Red Bull) +74.492s
9. Antonio Giovinazzi (Alfa Romeo) +1 pusingan
10. Lando Norris (McLaren) +1 pusingan