Lewis Hamilton teruja dengan prospek "cabaran getir" dalam Grand Prix (GP) Eifel hujung minggu ini selepas sesi latihan semalam dibatalkan.

Hujan lebat dan kabus menyebabkan helikopter perubatan tidak dapat berlepas di Nurburgring jadi pemandu hanya mempunyai sejam untuk berlatih hari ini.

Sesi kelayakan hanya akan diadakan menjelang perlumbaan esok sekali gus bermaksud pasukan-pasukab berdepan masa yang terhad untuk menghadapi perlumbaan sebenar yang pertama di litar Jerman sejak 2013.

Pendahulu kejuaraan itu sekali lagi akan berusaha untuk menyamai rekod 91 kemenangan milik Michael Schumacher dalam kancah Formula Satu (F1) dan meskipun mengakui cuacanya tidak sesuai, pemandu Mercedes itu sedia menikmati cabaran terbabit.

"Ini pasti agak mengecewakan untuk mengharungi hari sebegini," kata pelumba Britain itu dalam petikan yang diterbitkan oleh Sky Sports.


"Kami mungkin tidak perlu banyak berlari berikutan pilihan tayar yang terhad tetapi saya pasti suka dalam situasi pusingan pemasangan. Tetapi semua orang di sini melalui hal yang serupa.

"Tetapi saya pasti teruja terutama jika cuaca berterusan seperti ini. Semoga langit akan menjadi lebih cerah tetapi basah, ia pasti mewujudkan cabaran sengit, lebih-lebih lagi kami hanya dibenarkan menjalani sesi latihan yang singkat. Oleh itu, saya menantikan cabarannya."

Hamilton mendahului kejuaraan pemandu dengan 44 mata di depan rakan sepasukan, Valtteri Bottas.