Lewis Hamilton muncul sebagai pemandu Formula Satu (F1) paling berjaya dalam Grand Prix (GP) Britain dengan kemenangan keenamnya di Litar Silverstone, malam tadi.

Pemandu Mercedes tersebut memulakan perlumbaan di laman sendiri itu dengan menyamai pencapaian Jim Clark dan Alain Prost menerusi lima kejuaraan, namun perlu meningkatkan usaha selepas memulakan perlumbaan di petak kedua di belakang rakan sepasukan, Valtteri Bottas.

Pintasan awal perlumbaannya dibatalkan tetapi kemasukan kereta keselamatan dalam pusingan ke-20 membawa manfaat kepada juara bertahan dunia itu untuk menuju ke hentian pit, seterusnya kembali menerajui perlumbaan.

Dalam masa sama, Bottas sudah memasuki hentian pit dan pemandu Finland itu gagal mengekalkan penguasaannya untuk rakan sepasukannya itu memimpin baki separuh perlumbaan, sekali gus menawarkan Hamilton 39 mata menjelang 11 perlumbaan lagi.

Kedudukan podium disempurnakan oleh Charles Leclerc, yang memanfaatkan insiden perlanggaran di antara rakan sepasukannya di Ferrari, Sebastian Vettel, selepas pemandu Red Bull, Max Verstappen, memintasnya di pusingan ke-38.

Kereta kedua-duanya berpusing lalu masuk ke kawasan kerikil tetapi Verstappen dapat meneruskan dan menamatkan perlumbaan untuk meraih tempat kelima di belakang rakan sepasukan, Pierre Gasly, sementara Vettel terpaksa menukar hidung depan jenteranya sebelum terpaksa akur di tempat ke-16, posisi kedua tercorot dalam senarai pemandu yang menamatkan perlumbaan.

Keputusan:

1. Lewis Hamilton (Mercedes)
2. Valtteri Bottas (Mercedes) +24.928 saat
3. Charles Leclerc (Ferrari) +30.117s
4. Pierre Gasly (Red Bull) +34.692s
5. Max Verstappen (Red Bull) +39.458s
6. Carlos Sainz (McLaren) +53.639s
7. Daniel Ricciardo (Renault) +54.401s
8. Kimi Raikkonen (Alfa Romeo) +1:05.540
9. Daniil Kvyat (Toro Rosso) +1:06.720
10. Nico Hulkenberg (Renault) +1:12.733