Lewis Hamilton khuatir tayarnya tidak mampu bertahan ketika dia meraih kemenangan selesa Grand Prix (GP) Belgium, awal pagi tadi.

Pemandu Mercedes itu memimpin aksi Formula Satu (F1) sejak awal perlumbaan untuk mendahului rakan sepasukan, Valtteri Bottas, dan Max Verstappen daripada Red Bull, untuk mencatat kejuaraan keempat di Litar Spa itu dan yang kelima dalam tujuh perlumbaan musim ini.

Kereta keselamatan terpaksa keluar dalam pusingan ke-11 selepas kemalangan buruk membabitkan Antonio Giovinazzi dan George Russell, ini bermakna kebanyakan pemandu memilih untuk menukar tayar baru dengan lebih awal.

Hamilton, Bottas dan Verstappen kemudian mengadu tentang masalah tayar di penghujung aksi dan warga Britain itu terpaksa berhati-hati bagi mengelakkan kejadian serupa yang melanda kedua-dua kereta Mercedes di Silverstone.

"Ini bukan satu perlumbaan yang paling mudah," katanya selepas kemenangan terbarunya.

"Ada beberapa detik -- jentera saya terkunci di selekoh kelima yang mula memberikan sedikit gegaran dan sekali dalam selekoh terakhir.

"Saya berasa suhu tayar perlahan-lahan menurun, tidak kira seberapa banyak saya berusaha. Apabila tayar mula kehilangan suhu, ia akan kehilangan getah.

"Saya agak risau bahawa kami mungkin berdepan senario seperti di Silverstone dengan tayar kanan depan yang memerlukan saya berwaspada.

"Saya sedikit bergelut tetapi saya rasa tidak ada apa-apa. Tayar itu masih kelihatan tebal jadi mungkin ia baik-baik saja dan tidak ada yang perlu dibimbangkan."


Dalam mengintai kejuaraan dunia yang ketujuh, Hamilton mendahului Verstappen dengan 47 mata manakala Bottas, 50 mata, setelah tujuh perlumbaan.

"Saya tahu ia tidak semestinya apa yang diingini semua orang , iaitu Mercedes berada di depan tetapi tidak kira berapa banyak kejayaan yang kami capai, kami perlu merendah diri," katanya.

"Ketika saya menuju ke pejabat, tiada seorang kakitangan kami yang meraikannya, kami sudah pun memikirkan bagaimana untuk memenangi perlumbaan seterusnya. Ini adalah mentaliti yang luar biasa.

"Agak pelik memikirkan bahawa saya akan mencecah usia 36 tahun tetapi saya berasa lebih baik daripada sebelum ini, jadi ia satu petanda positif dan saya benar-benar berterima kasih kepada pasukan."