Valtteri Bottas mengetepikan rakan sepasukan Mercedes, Lewis Hamilton, dengan dipisahkan 0,012 saat untuk meraih petak utama secara dramatik dalam Grand Prix (GP) Austria, sebentar tadi, sempena perlumbaan pembukaan musim ini.

Pemandu Finland itu mendahului Hamilton setelah perlumbaan pertama kelayakan ketiga (Q3), meskipun terbatas ke batu kerikil dalam perlumbaan keduanya sekali gus membuka peluang kepada juara dunia enam kali itu untuk merapati catatan terpantasnya.

Sesi kelayakan itu bagaimanapun tidak memihak kepada Ferrari yang menyaksikan Charles Leclerc terpaksa berpuas hati di tangga ketujuh manakala Sebastian Vettel gagal tampil dalam Q3 dan akan memulakan tangga ke-11.

Max Verstappen pula menduduki tempat ketiga buat Red Bull sambil wakil McLaren, Lando Norris, mempamerkan prestasi mengagumkan untuk memastikan dia memulakan saingan esok di petak keempat.



Alex Albon, yang berada di kedudukan kelima, akan disertai pemandu Racing Point, Sergio Perez, di barisan ketiga selepas kedua-dua pemandu itu merakam catatan yang sama.

Leclerc -- yang hampir mencatat masa kedua terpantas -- mendahului Carlos Sainz yang akan bermula di petak kelapan.

Lance Stroll dan Daniel Ricciardo pula melengkapkan kedudukan 10 terbaik sambil Vettel tercicir dalam kelompok terbaik itu dalam musim terakhirnya bersama Ferrari.

Biarpun Hamilton cemerlang dalam tiga pusingan sesi latihan, Verstappen sebaliknya melakar catatan terbaik dalam Q1.

Bottas kemudian merampas tempat pertama dalam Q2 yang menyaksikan Verstappen muncul pelumba tunggal yang mengetengahkan strategi tayar dengan harapan Red Bull dapat merapatkan jurang dengan Mercedes.

Sesi kedua berlangsung tegang berikutan Vettel gagal memperbaiki catatannya untuk merampas tangga ke-10 selepas Albon mengatasinya pada saat-saat akhir.

Leclerc, bagaimanapun, sempat menempatkan diri dalam kalangan 10 pelumba terpantas meskipun sukar mencipta impak dalam Q3.

Perlumbaan esok akan menjadi yang pertama dalam dua kejohanan berturut-turut di Red Bull Ring untuk memulakan musim 2020 yang tertangguh akibat penularan wabak COVID-19.