Ahmad Fuad Baharudin menasihatkan pelumbanya, Mohd Aiman Tahiruddin, untuk bertenang dan kekal fokus bagi menghadapi perlumbaan pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Dataran Bandar Penawar, Johor, Sabtu dan Ahad ini.

Aiman kini sedang mendahului kedudukan keseluruhan kategori WIRA dengan mengumpul 132 mata dan hanya memerlukan tiga mata lagi bagi mengesahkan gelaran selaku juara keseluruhan musim 2017.

Namun, Fuad yang juga pengurus pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – AFB Tech, tidak mahu pelumba muda berusia 16 tahun itu berasa gementar dan melakukan kesilapan yang boleh meranapkan impian untuk bergelar juara keseluruhan.

“Di atas kertas, tiga mata yang diperlukan nampak mudah tetapi situasinya berbeza di atas litar. Mungkin pelumba akan berasa sedikit gementar dan ini akan menyebabkan berlaku kesilapan dan hilang fokus,” jelasnya.

“Dalam perlumbaan penting seperti ini, Aiman perlu tenang dan berlumba seperti biasa seperti perlumbaan-perlumbaan lepas. Dari segi persiapan jentera pula, dia tidak perlu bimbang kerana kami akan menyediakan yang terbaik untuknya. Kami juga mahu melihat dia menamatkan musim di atas podium.”