Ahmad Fuad Baharuddin berharap insiden perlanggaran pada perlumbaan akhir dalam kategori Wira di Temerloh tidak menjejaskan tumpuan pelumba pasukannya, Mohd Helmi Azman, untuk tampil cemerlang dalam pusingan sembilan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Jempol, Negeri Sembilan, hujung minggu ini.

Insiden perlanggaran ketika persaingan sengit merebut gelaran juara di antara Helmi dan pendahulu keseluruhan, Mohd Shafiq Ezzariq, menjadi perbualan di kalangan peminat Cub Prix sehingga menyaksikan Helmi keciciran mata dalam persaingan untuk merebut gelaran juara keseluruhan Wira musim 2016.

Namun, bagi prinsipal pasukan IUGB AFB Tech Racing, Ahmad Fuad, yang juga juara tiga kali kelas perdana Cub Prix, ia adalah insiden biasa dalam perlumbaan.

"Kejadian seperti itu sering terjadi dan boleh dijadikan pengajaran serta pelajaran terbaik buat Helmi untuk terus maju. Helmi perlu belajar untuk mempertahankan kedudukan dan merancang strategi dengan lebih baik sewaktu berlumba," jelas Fuad.

Sorotan video perlumbaan lepas di Temerloh pada 25 September, menyaksikan pertarungan sengit di antara kedua-dua pelumba ini dan berakhir dengan kemalangan melibatkan Helmi yang terbabas sebelum merempuh beg udara. Namun, dia masih berupaya bangkit untuk meneruskan perlumbaan.

"Saya tidak mahu Helmi terkesan dengan insiden lepas. Saya mahu dia fokus terhadap perlumbaan di Jempol, ditambah dengan bentuk litar yang agak teknikal.

"Dia perlu belajar daripada kesilapan untuk lebih berjaya kerana dia merupakan seorang pelumba muda yang berbakat dan telah beraksi dalam pelbagai siri perlumbaan termasuk perlumbaan menggunakan jentera Moto3 di saingan Asia Talent Cup.

"Sebagai pelumba, dia juga perlu bijak merancang strategi tanpa mengharapkan kelajuan jentera semata-mata untuk memenangi perlumbaan."

Tambahnya, Helmi perlu lebih memahami bagaimana untuk menggunakan kelebihan dan kekurangan jentera di setiap sudut litar dan pilih masa yang sesuai untuk menjarakkan diri atau untuk memintas.

"Perlumbaan di Cub Prix ini baik untuk pelumba-pelumba muda mengasah bakat perlumbaan kerana saingan yang kompetitif dan litar yang mencabar," jelas Fuad yang memahat nama sebagai pemenang perlumbaan di Litar Jempol pada tahun 2013 sekalipun bermula dari petak terakhir.