Setelah selesai empat pusingan di Thailand, Filipina, Indonesia dan Singapura, pusingan terakhir Kejuaraan FIM Asia SuperMoto musim 2018 berlangsung di Kuala Lumpur hari ini dan esok.

Pusingan kelima itu berlangsung menggunakan jalan berhadapan dengan lokasi Dataran Merdeka yang bersejarah dan ikonik. Ia dianjurkan sejurus selepas pusingan keempat di Singapura tatkala juara keseluruhan serta gelaran pelumba antarabangsa dan Asia terbaik bakal ditentukan esok.

Saingan untuk juara keseluruhan dan kategori pelumba antarabangsa terbaik akan melihatkan pertarungan hebat di antara pelumba Denmark, Simon Vilhelmsen, dan Lewis Cornish dari United Kingdom.

Walaupun meraih satu kemenangan dalam perlumbaan Moto1 di Singapura serta pungutan mata yang penting, Vilhelmsen berdepan dengan kecederaan setelah insiden pelanggaran dengan Cornish dalam perlumbaan Moto2, Ahad lalu.

Namun, dengan hanya 13 mata memisahkan kedua-duanya dalam kategori juara keseluruhan, pertarungan di Kuala Lumpur bakal menjadi sengit di antara kedua-dua pelumba.

Turut menjadi tumpuan adalah saingan tiga penjuru di antara dua pelumba Malaysia, Muhamad Gabit Habibullah dan Mohammad Khairi Zakaria serta Makoto Arai dari Jepun. Hanya lima mata memisahkan Gabit dan Mohammad Khairi, dengan kedua-dua pelumba negara itu akan bersaing sengit di laman sendiri untuk gelaran juara Asia.

Sementara itu, walaupun menghadapi jurang 18 mata dengan Gabit, Arai juga bakal turun ke litar dengan harapan dapat membawa momentumnya dari Singapura yang menyaksikannya berjaya mengutip tempat keempat dan kelima dalan kedua-dua perlumbaan Ahad lalu.

Selepas menyertai musim Kejuaraan 2018 dalam pusingan keempat, Jan Deitenbach dari Jerman juga bersedia untuk menggemparkan pusingan finale selepas aksi yang menakjubkan di Singapura. Setelah memperoleh kemenangan dalam perlumbaan Moto2 di litar KF1, pelumba kelahiran Dortmund itu bakal membawa aksi kemenangannya ke Malaysia.

“Kami sangat teruja untuk membawa aksi Kejuaraan FIM Asia SuperMoto 2018 ke ibu kota Kuala Lumpur pada hujung minggu ini, terutama sekali kerana pusingan terakhir ini bakal melihatkan perlumbaan yang penuh aksi.

"Kami amat terharu dengan penghargaan daripada pihak berkuasa untuk menjayakan perlumbaan terakhir musim 2018 di Dataran Merdeka, mercu tanda bersejarah dan ikonik untuk bandar Kuala Lumpur ini, lebih-lebih lagi sebagai pusingan penentuan kejuaraan kesemua kategori dan penutup tirai musim 2018 ini.

"Kami yakin peminat sukan permotoran akan dapat menyaksikan aksi perlumbaan yang mendebarkan pada hujung minggu ini!,” kata Ketua Pegawai Eksekutif E-Plus Global Sdn Bhd, Andrew Ching, pengiklan dan penganjur Kejuaraan FIM Asia SuperMoto.