Ferrari perkenal jentera SF1000

Oleh Staff Writer 12 Februari 2020 100
Ferrari perkenal jentera SF1000
Sebastian Vettel percaya Ferrari sudah mengambil satu langkah ke depan selepas dia menyertai rakan sepaukannya, Charles Leclerc, memperkenalkan jentera baru mereka untuk musim 2020.

Jentera SF1000 -- yang dinamakan bersempena perlumbaan Formula Satu ke-1000 pasukan itu tahun ini --  diperkenalkan di Teater Romolo Valli, Reggio Emilia malam tadi.

Kedua-dua pemandu itu menghadiri majlis berkenaan menjelang musim baru ini dan menyasarkan untuk menamatkan dominasi Mercedes -- Ferrari memegang rekod juara kategori pengeluar sebanyak 16 kali, namun kali terakhir memenanginya pada 2008.

"Kami semua sedar tanggungjawab besar yang digalas di bahu kami dan amat jelas untuk mencapai sasaran utama, iaitu kejuaraan," kata ketua pegawai eksekutif pasukan itu, Louis Camilleri, dalam majlis berkenaan.

"Saya percaya kami mempunyai bakat dan keazaman untuk mencapai impian itu."

Juara dunia empat kali, Vettel, kagum dengan penambahbaikan jentera itu dengan berkata: "Saya amat menggemari jentera ini. Anda mudah untuk mengenal pasti perbezaannya, terutama di bahagian belakangnya. Segala-galanya kelihatan lebih padat."

Ditanya mengenai harapannya menjelang musim baru ini, pemandu berbangsa Jerman itu menjawab: "Ia mustahil untuk diramalkan tetapi kita akan melihatnya berdasarkan masa yang kami habiskan bersama jentera ini.

"Saya fikir ia satu langkah ke depan, saya harap saya akan berfikir seperti itu apabila memandu jentera ini," katanya.

Leclerc menyerlah dalam penampilan pertamanya musim lalu dengan merekodkan kemenangan dalam dua perlumbaan dan menamatkan kedudukan keseluruhan kategori pemandu di tangga keempat, satu anak tangga di atas Vettel.

Dia berkata: "Pendekatannya sedikit berbeza, saya kini lebih mengenali pasukan saya, lebih mengenali jentera saya.

"Amat jelas terdapat penambaikan jentera musim ini berbanding musim lalu.

"Kami berusaha bersama-sama untuk menjadikannya lebih baik dan lebih bersedia tahun ini.

"Ia satu cabaran yang besar dan saya tidak sabar untuk memandu jentera ini," katanya.

Gandingan Ferrari itu akan berpelung menguji jentera berkenaan apabila ujian pramusim bermula di Barcelona, Rabu depan.




Editor: Muzaffar Musa

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen