Sergio Marchionne menganggap Ferrari telah membuat langkah besar tahun ini dan menjangka pasukan itu akan menjadi pencabar utama selepas membina karakter pada separuh kedua musim lalu.

Sebastian Vettel mengumpul 14 mata pada pertengahan musim lalu dengan merakamkan kemenangan keempat di Hungary. Begitupun kejayaan Lewis Hamilton untuk memenangi lima daripada enam perlumbaan seterusnya bersama Mercedes menjulangnya sebagai juara buat kali keempat.

Sudah hampir sedekad sejak pemandu Scuderia dimahkotakan sebagai juara dunia dan sembilan tahun selepas ditabalkan juara pengeluar, sebaliknya Presiden Ferrari, Marchionne, optimis mereka dapat melancarkan cabaran hebat tahun depan.

Dia berkata: "Memandangkan kami bermula dari tahun lalu lagi, musim ini kami telah mengambil langkah besar ke hadapan.

"Separuh kedua musim 2017 adalah berkenaan pembinaan karakter. Kami banyak belajar selama enam bulan yang lalu, kami cuba bergerak ke hadapan dan itulah yang paling penting.

"Sejak Ogos tahun lalu, kami membaik pulih organisasi ini, saya benar-benar menaruh kepercayaan kepada mereka. Maurizio Arrivabene sebagai ketua pasukan dan Mattia Binotto mengetuai bahagian teknikal mampu melakukan sesuatu yang luar biasa.

"Kami benar-benar percaya kami dapat melakukan lebih banyak lagi tetapi pada 2017, kami tidak dapat mencapai matlamat kami. Ini juga menyebabkan beberapa perubahan terhadap organisasi Gestione Sportiva.

"Kami sudah mula memperlihatkan tanda-tanda perubahan yang ketara ketika memasuki keupayaan pengeluar. Yang penting adalah memulakan 2018 dengan semua kepakaran dan pengalaman ini untuk menguruskan organisasi, saya tidak ragu-ragu bahawa kami akan berdaya saing," katanya lagi.