Ahmad Fazli Sham dilihat berada di landasan terbaik untuk membawa pulang gelaran juara Underbone 130cc Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand dari 2-4 Disember ini.

Pelumba UMA Racing Yamaha Maju Motor itu kini berada di kelompok empat pelumba yang sedang bersaing memburu gelaran juara keseluruhan dengan berada di kedudukan kedua setelah mengumpul 110 mata, hanya tiga mata di belakang pendahulu, Wahyu Aji Trilaksana, yang mengumpul 113 mata.

Dua lagi pelumba negara, Mohd Izzat Zaidi dan Mohd Amirul Arif Musa, turut berpeluang untuk bergelar juara keseluruhan apabila berada di kedudukan ketiga dan keempat dengan 107 dan 106 mata.

"Wahyu mempunyai kelebihan kerana pasukannya, BKMS, mampu menyediakan jentera yang sangat pantas. Namun, jentera kami juga begitu kompetitif, terutama sewaktu perlumbaan pusingan lepas di India. Rasanya kelajuan jentera kami mampu menyaingi jentera Wahyu.

"Pada masa sama, saya tidak boleh begitu fokus terhadap Wahyu kerana Izzat dan Amirul juga perlu diberikan perhatian, terutama Amirul yang bijak menggunakan peluang dan strategi di selekoh terakhir sebelum ke garisan penamat," jelas Fazli.

Jika berjaya, pencapaian tersebut merupakan gelaran ketiga buat Fazli di dalam saingan Underbone Asia selepas memenangi gelaran Underbone 125cc pada tahun 2004 dan 2005.

"Kali terakhir pelumba Malaysia muncul juara Underbone ialah pada tahun 2009 melalui Mohd Affendi Rosli.

"Saya berharap dapat membawa kembali piala tersebut ke Malaysia dan juga untuk melengkapkan musim cemerlang buat Maju Motor," jelas Fazli merujuk kepada pencapaian pasukan mendominasi perlumbaan CP130 dan CP115 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2016.