Tarikh 29 September lalu merupakan hari yang penuh beremosi buat peminat sukan permotoran, terutama Formula Satu (F1), yang menghiasi Litar Antarabangsa Sepang (SIC) buat kali terakhir.

Sejak 1999, F1 merupakan salah satu tarikan Malaysia dan tahun 2017, kita perlu mengucapkan selamat tinggal kepada acara berprestij ini.

Ramai yang bakal merindui saingan F1 di Malaysia selepas ini apabila ia telah dinamakan 'F1NALE' yang menyaksikan ribuan penonton membanjiri Litar Sepang buat kali terakhir selepas 19 tahun bertapak di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali, menyatakan bahawa beliau akan merindui suasana penganjuran F1 selepas ini.

"Saya berasa lega kerana saingan F1 sudah berakhir di Malaysia tapi pada masa sama perasaan sedih kerana ia merupakan penganjuran terakhir selepas 19 tahun," katanya.

"Ribuan penonton yang hadir untuk perlumbaan F1NALE ini dan kami perlu mengalih tumpuan selepas ini bagi membuat persiapan untuk penganjuran MotoGP Malaysia."

Razlan turut menyatakan bahawa ia bukan satu keputusan yang salah untuk berehat seketika daripada penganjuran F1 di Malaysia.

"Setakat ini, ia merupakan keputusan yang tepat kerana sejak beberapa tahun lalu, penonton Malaysia kurang hadir ke Sepang untuk menyaksikan perlumbaan.

"Saya berpendapat ia merupakan satu keputusan yang tepat untuk berehat seketika sebelum kembali menganjurkan saingan di Malaysia," katanya.

Tambah Razlan lagi, penurunan kadar penonton yang hadir ke Litar Sepang juga merupakan faktor yang mempengaruhi keputusan untuk menghentikan seketika penganjuran F1 di Malaysia.

"Kami dapat menyaksikan penurunan populariti sukan ini di Malaysia, terutama pada 2014. Segala-galanya bergantung kepada pelumba yang mewakili pasukan mana. Apa yang saya boleh katakan adalah F1 sudah mula hilang seri.

"Tetapi ini bukan pengakhiran buat penganjuran F1 di Malaysia. Kami hanya mengambil masa untuk berehat seketika, membuat perancangan yang lebih rapi untuk meningkatkan semula minat terhadap sukan ini dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya lagi.