Formula Satu (F1) menambah perlumbaan di Jerman, Itali dan Portugal dalam kalendar perlumbaan musim ini tetapi acara di Brazil, Amerika Syarikat (AS), Mexico atau Kanada tidak akan dianjurkan.

Litar ikonik di Nurburgring akan menjadi tuan rumah kepada Grand Prix (GP) Eifel pada 9-11 Oktober depan manakala perlumbaan sulung F1 di Portugal sejak 1996 akan dilangsungkan di Portimao, dua minggu kemudian.

F1 kemudian akan menuju ke trek bersejarah di Imola, kali terakhir menganjurkan perlumbaan dalam edisi 2006, untuk GP Emilia Romagna.

Format sebenar perlumbaan itu masih belum ditentukan, tetapi satu sesi latihan dijangka akan diadakan menjelang pusingan kelayakan dan perlumbaan.

Kalendar F1 musim ini menyaksikan sebanyak 13 kejohanan akan mendapat tempat dengan harapan dua hingga lima lagi aksi GP akan disuntik sebelum mereka menamat saingan musim ini pada pertengahan Disember depan di Teluk Arab.

Negara-negara di Amerika Utara dan Amerika Selatan terpaksa membatalkan hasrat untuk bertindak sebagai tuan rumah disebabkan sekatan yang diketengahkan berikutan ancaman wabak COVID-19 yang sedang berlaku.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) F1, Chase Carey, dalam satu kenyataan berkata: "Kami gembira kerana dapat terus membuat kemajuan terhadap pelan kami untuk musim 2020 dan kami berbesar hatinya mengumumkan perlumbaan di Nurburgring, Portimao dan Imola ke kalendar perlumbaan yang disemak semula.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada penganjur, pasukan, dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) atas sokongan penuh mereka dalam usaha untuk membawa perlumbaan kepada peminat kami dalam tempoh sukar musim ini.

"Kami juga ingin memberi penghormatan kepada rakan kongsi kami yang luar biasa di AS dan berharap dapat kembali bersama mereka musim depan bagi menggegar berjuta-juta peminat di seluruh dunia."