F1: SIC sedia bida semula penganjuran 

Oleh Penulis Jemputan 3 Oktober 2017 2407
F1: SIC sedia bida semula penganjuran 
Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali, tidak menolak kemungkinan Malaysia akan kembali menganjurkan perlumbaan Formula Satu (F1) lima tahun lagi susulan sambutan menggalakkan ketika perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia, kelmarin.

Sejurus perlumbaan hujung minggu lalu tamat, Razlan tampil memberi bayangan Malaysia mungkin akan membida kembali hak penganjuran F1 tetapi bergantung kepada keadaan ekonomi pada waktu itu. 

Sepanjang tempoh itu, Razlan akan cuba membangunkan beberapa projek di SIC seperti mewujudkan taman tema dan hotel serta membawa beberapa perlumbaan seperti Japan Super GT, Australian V8 Supercars dan FIM World Endurance 8-Hour Race. 

"Kami sedang bekerja keras untuk merealisasikan perancangan kami. 

"Jika ada penglibatan komponen-komponen bukan dari sukan permotoran, lebih mudah nak mempromosikan acara-acara di sini," katanya. 

Razlan juga tampil menjelaskan akan mengumumkan secara rasmi mengenai spekulasi mengaitkan pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin, yang dikhabarkan akan berhijrah ke pasukan baru musim depan. 
 
"Sudah menjadi kelaziman bahawa media akan tanya apakah perancangan kami dan pelumba Malaysia pada musim depan. 

"Saya mahu mereka memberi tumpuan kepada perlumbaan sekarang. 

"Jika kami membuat pengumuman sekarang, saya bimbang ada pihak tertentu yang akan terkesan," katanya lagi.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen