Lapan perlumbaaan pembukaan Formula 1 (F1) musim 2020 sudah disahkan dengan Litar Spielberg dan Silverstone, masing-masing akan menganjurkan dua perlumbaan.

Kesemua perlumbaan itu akan dianjurkan secara tertutup "dengan prosedur keselamatan paling ketat", berdasarkan satu kenyataan yang dikeluarkan akaun Twitter rasmi F1.

Kenyataan itu turut berkata baki perlumbaan akan diumumkan dalam beberapa minggu depan selepas acara sukan di seluruh dunia terpaksa dihentikan berikutan penularan koronavirus.

Kempen musim ini akan bermula dengan Grand Prix Austria pada 5 Julai ini dan setiap pasukan akan kekal di lokasi itu bagi menyertai satu perlumbaan lain pada hujung minggu berikutnya.

Selepas perlumbaan di Hungary pada 19 Julai ini, hanya berselang seminggu sebelum Grand Prix British menganjurkan dua perlumbaan berturut-turut.

Grand Prix Sepanyol pula dijadualkan pada 16 Ogos depan sebelum giliran Litar Spa dan Monza menjadi tuan rumah, masing-masing pada 30 Ogos dan 6 September depan.

F1 musim 2020 sepatutnya bermula dengan Grand Prix Australia pada Mac lalu tetapi terpaksa dibatalkan selepas salah seorang ahli pasukan McLaren didapati positif Covid-19.

Pandemik itu turut mengakibatkan sembilan perlumbaan lain turut ditunda dengan acara di Belanda, Monaco, dan Perancis dibatalkan.

Perlumbaan di Australia, Bahrain, Vietnam, China, Azerbaijan dan Kanada pula diharapkan dapat dijadualkan semula.

Ketua Pegawai Eksekutif F1, Chase Carey, berkata: "Dalam beberapa minggu ini, kami bekerja keras dengan kesemua rakan kongsi, FIA dan setiap pasukan untuk menghasilkan jadual baru perlumbaan pembukaan musim 2020 bagi membolehkan kami memulakan perlumbaan dengan cara paling selamat.

"Kami gembira kerana dapat menyusun lapan perlumbaan pertama hari ini dan bersedia untuk mengumumkan jadual musim penuh kami dalam beberapa minggu ini.

"Kami mahu berterima kasih kepada setiap promoter dan rakan kongsi kami di atas sokongan dan komitmen mereka terhadap Formula 1.

"Ketika kami menjangkakan tiada penonton dalam setiap perlumbaan, kami berharap dalam beberapa bulan ini, situasi semasa akan mebolehkan kami untuk membenarkannya semula apabila keadaan sudah kembali selamat.

"Tetapi kami sedar kepulangan Formula 1 akan diterima baik oleh semua peminat sukan di seluruh dunia," katanya.

Dilaporkan dua perlumbaan di Austria dan Great Britain itu akan memperlihatkan eksperimen dalam pusingan kelayakan.

Prinsipal pasukan Red Bull, Christian Horner, berkata bahawa pada minggu ini, satu cadangan mengenai perlumbaan kelayakan dengan grid terbalik mendapat sokongan luar biasa daripada wakil setiap pasukan, dengan hanya ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff, menyatakan kebimbangan.

Kaedahnya akan menyaksikan barisan pemandu berada dalam urutan kejuaraan terbalik - pendahulu dalam kedudukan pemandu bermula di kedudukan paling belakang - dan berlumba dalam satu perlumbaan pecut pendek, dengan kedudukan akhir akan menentukan kedudukan mereka dalam perlumbaan sebenar.

Bagaimanapun, masih belum ada pengumuman rasmi daripada F1 berkenaan format kelayakan berkenaan.