Dua pelumba Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton dan Valtteri Bottas, mahu memastikan kejuaraan perlumbaan Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Malaysia 2017 terus memihak kepada pasukan itu.

Perlumbaan GP Malaysia tahun ini adalah yang terakhir buat Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang memasuki tahun terakhir kontrak penganjurannya.

Lantas, ia memberikan lebih makna buat dua pelumba Mercedes itu untuk memperoleh kemenangan di 'laman sendiri'.

Buat Hamilton khususnya, ini peluang terbaik baginya untuk terus menjarakkan pendahuluan kategori keseluruhan pelumba berbanding pencabar terdekat, Sebastian Vettel, daripada pasukan Ferrari.

Malah, Hamilton juga ingin melupakan kisah tahun lalu yang menyaksikan jenteranya mengalami masalah semasa mendahului perlumbaan di Sepang.

Untuk rekod, satu-satunya kemenangan yang diraih Mercedes di Sepang adalah menerusi Hamilton pada musim 2014.

"Kami berasa sedih dengan nasib perlumbaan ini yang akan dianjurkan buat kali terakhir di sini.

"Ini merupakan perlumbaan GP yang epik dari sudut cabaran kepada jentera dan pasukan. Ia antara perlumbaan paling sukar pada setiap musim," kata pelumba dari Britain itu.

Sementara itu, Bottas turut mengidamkan kedudukan podium untuk terus membantu Mercedes mengukuhkan kedudukan dalam kategori pengeluar.

Dia juga tidak menafikan ingin cuba mencabar kedudukan Vettel dalam saingan keseluruhan.

Musim ini menyaksikan Bottas melepasi jangkaan dengan memenangi dua perlumbaan, iaitu di Russia dan Austria.

"Kami mahu menamatkan perlumbaan ini di kedudukan terbaik minggu ini," katanya.